Khamis, 10 Januari 2019 | 4:15pm
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bersama Presiden Fuji Xerox Asia Pacific Sdn Bhd, Mark Tan (kiri) melihat dari dekat pencetak model ApeosPort C7773 Siri pada Majlis Fuji Xerox ‘Gerbang Kerja Pintar untuk Transformasi Digital’ di Grand Hyatt. NSTP/Mohd Yusni Ariffin.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof bersama Presiden Fuji Xerox Asia Pacific Sdn Bhd, Mark Tan (kiri) melihat dari dekat pencetak model ApeosPort C7773 Siri pada Majlis Fuji Xerox ‘Gerbang Kerja Pintar untuk Transformasi Digital’ di Grand Hyatt. NSTP/Mohd Yusni Ariffin.

PKS perlu manfaat Industri 4.0 kekal daya saing

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mesti bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan revolusi industri keempat (Industri 4.0), jika mahu kekal kompetitif dalam industri, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata penggiat industri perlu tampil membantu PKS menjadi syarikat digital, dan tidak semata-mata syarikat yang hanya menggunakan komputer.

“Kerajaan menyambut baik peneraju industri seperti Fuji Xerox, yang menyokong dan menjadi rakan kementerian dalam program berstruktur yang dapat mempromosi penerimaan ekonomi digital dalam kalangan PKS,” katanya pada pelancaran 14 pencetak digital baharu pelbagai warna Fuji Xerox, di Kuala Lumpur, semalam.

Menerusi konsep ‘Gerbang Kerja Pintar untuk Transformasi Digital’, siri baharu ini bermatlamat membantu syarikat Malaysia, terutama PKS, untuk meningkatkan pertumbuhan, peroduktiviti dan kecekapan dalam ekonomi digital.

Dalam perkembangan lain, semasa ditanya adakah kereta nasional ketiga akan bekerjasama dengan syarikat automotif dari Jepun, Mohd Redzuan berkata, ketika ini terdapat lebih 90 pelabur swasta menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama.

Bagaimanapun, katanya kerajaan masih meneliti cadangan yang diberikan setiap pelabur swasta itu dan akan menyenarai pendek pelabur swasta yang terbaik.

“Kita perlu lihat syarat dan keperluan mereka, serta adakah ia akan memberikan kelebihan kepada kita sebagai negara pengeluar.

Kerajaan melalui kementerian terbabit dan agensi akan menyenarai pendek syarikat yang memberikan cadangan terbaik,” katanya.

Pada majlis sama, Presiden Fuji Xerox Asia Pasifik Pte Ltd (Operasi Malaysia), Mark Tan berkata berikutan kepesatan pembangunan teknologi, organisasi perlu berevolusi untuk menangani landskap perniagaan yang berubah.

"Teknologi digital menyediakan peluang untuk syarikat meningkatkan proses perniagaan dan menawarkan produk dan perkhidmatan yang mungkin belum pernah difikirkan beberapa tahun lalu.

"Menerusi pendekatan transformasi digital yang betul, syarikat atau permulaan niaga boleh menjadi pencetus perubahan dalam industri masing-masing," katanya.

Menyedari pentingnya bidang ini, Tan berkata Fuji Xerox mahu menyokong inisiatif kerajaan dalam transformasi digitalnya, terutama dalam sektor PKS.

Berita Harian X