Jumaat, 4 Januari 2019 | 5:15pm
MADANI Sahari (kanan) pada sidang akhbar selepas majlis Perutusan Tahun Baru 2019 dari Perodua dan Malaysia Automative, Robotics & IoT Instutute (MARii) di Banguan Korporate Perodua, Serendah. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
MADANI Sahari (kanan) pada sidang akhbar selepas majlis Perutusan Tahun Baru 2019 dari Perodua dan Malaysia Automative, Robotics & IoT Instutute (MARii) di Banguan Korporate Perodua, Serendah. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Eksport komponen automotif tempatan hampir cecah RM12 bilion

RAWANG: Nilai eksport komponen dan alat ganti dalam sektor automotif negara dijangka mencecah lebih RM12 bilion pada tahun ini, kata Ketua Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari.

Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun lalu, nilai eksport komponen dan alat ganti automotif sudah mencecah hampir RM11 bilion.

Justeru, katanya semakin tinggi nilai eksport yang dicatatkan bermaksud semakin tinggi kadar daya saing pembekal di negara ini.

“Pada 2011, nilai eksport komponen dan alat ganti adalah sekitar RM5.2 bilion dan nilai itu meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun.

“Kini kami sedang mengumpul data pencapaian pada 2018 dan akan mengumumkannya dalam satu majlis bersama Menteri tidak lama lagi. Apa yang pasti, kami menetapkan sasaran yang lebih tinggi bagi eksport tahun ini.

“Sehingga kini terdapat sekitar 175 pembekal tempatan yang sudah mengeksport komponen dan alat ganti automotif ke peringkat global,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Karakuri di sini, hari ini.

Karakuri adalah kaedah untuk meningkatkan produktiviti sebanyak 30 peratus. Seramai 30 peserta dari 15 syarikat berjaya melengkapkan Program MARii Karakuri.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Presiden yang juga Ketua Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, pihaknya mendapati tahap daya saing pembekal tempatan kini sudah setanding dengan pembekal komponen automotif di Indonesia dan Thailand.

“Kami lihat kini pembekal di kedua-dua negara berkenaan boleh membekalkan produk mereka ke pengeluaran produk tulen (OEM) global di seluruh dunia.

“Kami berharap pembekal tempatan juga dapat mengikut jejak langkah berkenaan, bukan hanya dengan mengeksport produk import sepenuhnya (CBU) tetapi juga komponennya,” katanya.

Mengulas mengenai hala tuju PERODUA pada tahun ini, Zainal Abidin berkata pengeluar kenderaan itu tidak boleh lagi bergantung kepada konsep jualan tradisional.

“Kami kini perlu memberi tumpuan kepada strategi jualan baharu atau apa yang saya panggil jualan teknikal. Kami perlu percaya kepada produk kami dan memberi pelaburan penuh terhadapnya.

“Selain itu, kami juga perlu terus memberi tumpuan kepada aspek perkhidmatan pelanggan di setiap peringkat,” katanya.

Berita Harian X