Khamis, 27 Disember 2018 | 2:12pm

Melaka catat pelaburan RM1 bilion

JASIN: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meluluskan pelaburan bernilai kira-kira RM1 bilion dalam tujuh sektor di Melaka bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata, tujuh sektor pelaburan oleh syarikat asing dan tempatan itu meliputi perubatan, makanan, elektronik, petroleum, pengangkutan, pembuatan logam dan mineral bukan metalik.

"Jumlah pelaburan ini jauh lebih rendah daripada sasaran kerajaan negeri iaitu RM5 bilion setahun disebabkan beberapa faktor, termasuk perubahan senario politik negara dan pertukaran pentadbiran kerajaan negeri yang kini dipimpin kerajaan Pakatan Harapan.

"Kita mengambil alih pentadbiran negeri Melaka pada Mei lalu dan sebahagian pelaburan sedia ada masih dalam perbincangan serta belum dapat dimuktamadkan dalam tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Temu Duga Pekerja Tempatan Syarikat Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd dengan Kerjasama Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Xinyi, Datuk Liu Xiao Rong dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Paeza Rosdi.

​​​​​Mengulas lanjut, Adly berkata kerajaan negeri bagaimanapun sudah melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif secara proaktif untuk menarik pelaburan ke negeri itu menerusi pertemuan pelaburan dengan syarikat asing dan tempatan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersedia mempertimbang permintaan pelabur yang mahu melabur di negeri itu selagi ia tidak memberi kesan negatif kepada rakyat atau ekonomi negeri serta memastikan pelaburan yang dilakukan dapat menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat tempatan.

"Sebagai contoh kita menyokong dan membantu usaha Xinyi untuk mempunyai pelabuhan sendiri di negeri ini agar proses import dan eksport syarikat mereka dapat dilaksanakan dengan lancar. Pelabuhan itu dijangka dapat membantu Xinyi meningkatkan pelaburan di Melaka sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negeri," katanya.

Beliau berkata setakat ini, Xinyi menyediakan 1,200 peluang pekerjaan menerusi pengoperasian kilangnya di Elkay Industrial Park Lipat Kajang di sini sejak 2015 menerusi pelaburan berjumlah RM2.7 bilion, dan syarikat tersebut berupaya mengeluarkan 3,200 tan ‘float glass’ dan 1,99 tan ‘solar glass’ sehari.

Katanya 35 peratus daripada peluang pekerjaan itu diisi pekerja tempatan, pekerja asing (45 peratus) dan pekerja bantuan teknikal jangka masa pendek (20 peratus).

​​​Sementara itu, beliau berkata temu duga terbuka menyediakan 350 peluang pekerjaan pelbagai jawatan profesional dan sokongan dan ia dianjurkan selama satu bulan bermula hari ini dalam usaha merealisasikan pembesaran Fasa 2 dan 3 Kilang Xinyi Energy Smart (M) Sdn Bhd. - BERNAMA

Berita Harian X