Isnin, 24 Disember 2018 | 2:40pm

RE fokus pertumbuhan sektor tenaga pada 2018

KUALA LUMPUR: Berikutan margin rizab yang mencukupi pada 30 peratus dan asas ekonomi yang tidak berubah, sektor tenaga tidak menyaksikan banyak pertumbuhan pada 2018 walaupun bahagian pengagihan masih seimbang dengan sambungan bekalan kepada kawasan dan permintaan baharu.

Perubahan struktur ekonomi, susut nilai ringgit serta kenaikan tarif elektrik telah menjejaskan permintaan terhadap elektrik dan pendapatan.

Sebagai rekod, bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2018, gergasi utiliti Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatat keuntungan bersih RM3.86 bilion atau 68.01 sen sesaham daripada pendapatan RM37.85 bilion.

Ia mencadangkan dividen sebanyak 30.27 sen sesaham.

Walaupun ekonomi dunia dijangka berkembang 3.9 peratus pada 2018, pertumbuhan ekonomi domestik disemak semula dengan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan 4.7 peratus berbanding unjuran lebih tinggi sebelum ini.

Sehubungan itu, bagi sektor tenaga untuk memasuki tahun baharu dengan perubahan dasar dan peraturan serta program dan skim yang baru diperkenalkan hanya untuk memastikan Malaysia selamat dari segi alam sekitar dan ekonomi, ia akan menjadi sesuatu yang sangat besar.

Ketika kerajaan merancang untuk mencapai tiga agenda melalui Industri Bekalan Tenaga Malaysia (MESI) 2.0, kebanyakan syarikat tenaga sudah mula mengembangkan rancangan mereka atau meneruskan strategi sedia ada untuk menghasilkan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui (RE).

Tiga agenda itu, iaitu meningkatkan kecekapan industri; menyediakan struktur industri masa depan, peraturan dan proses utama serta memperkasa pengguna, mendemokrasi dan medesentralisasi industri bekalan elektrik, akan dilaksanakan agensi tujuan khas Pejabat Program Malaysia untuk Pembaharuan Tenaga Elektrik (MyPower).

MyPower, dengan 12 hingga 20 pekerja, ditugaskan untuk membabitkan diri dengan pemain industri serta pihak berkepentingan untuk pembaharuan industri dan syarikat itu dijangka ditutup apabila misinya selesai.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata kerajaan yakin program transformasi industri bekalan elektrik di bidang seperti penjanaan masa depan, termasuk tenaga hijau dan kecekapan tenaga elektrik dan grid untuk masa depan, akan meningkatkan pengalaman pelanggan serta memacu negara ke hadapan.


Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Selain agenda pembaharuan, tahun itu juga menyaksikan kerajaan baharu menyusun semula industri tenaga negara dan mengembalikan sektor itu kepada keadaan yang lebih jelas dengan menyingkirkan mereka yang tidak jujur daripada industri itu.

Antara yang terbesar ditonjolkan ialah penamatan empat kontrak pengeluar tenaga bebas (IPP) baru pada 25 Oktober, yang diberikan oleh pentadbiran terdahulu menerusi rundingan terus.

Sekiranya tiada tindakan diambil ke atas isu-isu IPP, Yeo berkata, akan berlaku lebihan bekalan elektrik pada masa depan, yang akan meningkatkan margin rizab serta permintaan dan penawaran yang tidak seimbang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa projek penjanaan tenaga masa depan akan hanya diberikan melalui tender terbuka, di mana pembida perlu bersaing.

Sementara itu, keputusan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme ketidakseimbangan pelepasan kos (ICPT) sepanjang tahun ini, untuk menyelaras tarif berdasarkan perubahan harga bahan api untuk penjanaan elektrik setiap enam bulan dalam bentuk rebat atau surcaj, disambut baik.

Ini membantu pengeluar tenaga yang kebanyakannya bergantung kepada bahan api fosil, terutama arang batu dan gas untuk menghasilkan tenaga elektrik, untuk kekal fleksibel terhadap sebarang perubahan harga selain dapat mengurangkan kesan harga dan menyediakan bekalan tenaga yang boleh dipercayai.

ICPT yang bermula dengan tempoh pengawalseliaan pertama (RP) bermula daripada Januari 2015 hingga Disember 2017, kini berada dalam tempoh pengawalseliaan kedua (RP2) selama tiga tahun lagi bermula 2018 hingga 2020.

Lapan kitaran ICPT diumumkan daripada Mac 2015 hingga Disember 2018, dengan tujuh pusingan pertama kitaran ICPT membabitkan rebat.

Rebat 2.25 sen/kWh diumumkan pada 2015 dan 1.52 sen/kWh pada 2016, 2017 dan Januari hingga Jun 2018.

Bagaimanapun, disebabkan oleh kos bahan api dan penjanaan yang lebih tinggi, surcaj tambahan 1.35 sen/kWh dikenakan kepada pelanggan domestik dengan penggunaan bulanan melebihi 300kWh daripada Julai hingga Disember 2018.

Tetapi, bersyukur, surcaj sebanyak 81.7 peratus ke atas pelanggan domestik telah di subsidi dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) berjumlah RM114 juta.

Bagaimanapun, menurut penganalisis, dengan dana KWIE kini berjumlah RM600 juta dan hanya mencukupi sehingga separuh tahun depan, kerajaan perlu perkenal langkah-langkah baharu.

"Tidak kira secekap mana pasaran anda atau seberapa baik pelan infrastruktur anda, jika pasaran terlalu bergantung kepada bahan api fosil yang dipengaruhi oleh harga bahan api global, turun naik harga elektrik adalah sesuatu yang di luar kawalan mereka," katanya kepada BERNAMA.

Bagi membantu menangani isu semasa berhubung surcaj elektrik, beliau berkata, syarikat yang terjejas perlu beralih kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) yang tidak hanya akan menstabilkan tarif elektrik tetapi mengurangkan pelepasan karbon.

Dengan syarikat seperti TNB, Siemens Malaysia Sdn Bhd, Wah Seong Corporation Bhd, Visolar Group Bhd, Leader Solar Energy (LSE) Sdn Bhd dan KNM Renewable Energy Sdn Bhd sudah memula atau mengembangkan segmen RE pada tahun ini, Malaysia kini boleh bercita-cita mencapai 20 peratus sasaran kecekapan RE menjelang 2025 hingga 2030 daripada dua peratus sekarang ini.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Tenaga, penjanaan elektrik Malaysia untuk 2016 dijana daripada gas (43.5 peratus), diikuti rapat arang batu (42.5 peratus) manakala hidro menyumbang 13 peratus daripada campuran penjanaan tenaga itu.

Berdasarkan nota daripada firma penyelidikan Protege Associates, Malaysia mempunyai kapasiti tenaga yang boleh diperbaharui sebanyak 7.3 gigawatt (GW) pada 2017, yang mana 82 peratus disumbangkan tenaga hidro.

Pada September, Siemens Malaysia yang bersedia memperluaskan portfolio perniagaannya dalam RE berkata, ia akan menghasilkan penyelesaian untuk portfolio solarnya dan bersedia untuk turut terbabit apabila kerajaan mengumumkan projek RE.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Indranil Lahiri, berkata industri RE dilihat sudah mendapat momentum pada 2018.

"Beberapa bulan kebelakangan ini menyaksikan beberapa keputusan yang bergerak keluar daripada Tarif Galakan (TIF) solar - sebagai pendekatan pariti grid, ke arah rancangan konkrit untuk membuatkan tenaga solar yang boleh diperbaharui menarik dalam semua segmen daripada skala besar kepada kediaman.

"Prospek untuk 2019 kelihatan menguntungkan, memandangkan pengurangan kos untuk teknologi solar dan penyimpanan, insentif untuk meningkatkan pengambilan dan kemungkinan untuk meringankan pembiayaan.

"Industri RE akan menyaksikan pertumbuhan dalam segmen solar pada 2019 berikutan tender solar skala besar (LSS3)," katanya kepada BERNAMA.

Lahiri berkata, beberapa faktor akan menjadi pertimbangan untuk mempromosi penerimaan RE.

Satu daripadanya, jualan kadar/kWh yang lebih tinggi untuk mengeksport tenaga boleh diperbaharui akan menggalakkan pemasangan solar.

"Ini kini sebahagian daripada konsep pemeteran tenaga bersih (NEM) yang disemak semula, berkuat kuasa 2019 yang membenarkan eksport kembali ke grid berdasarkan imbangan satu kepada satu dengan tenaga yang diimport.

"Selain itu, membolehkan pelabur pihak ketiga membuat pemasangan solar tanpa sebarang kos pendahuluan untuk pemilik kediaman, melalui mekanisme pajakan solar seperti yang dipromosi melalui Perjanjian Pembekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE), juga akan membantu meningkatkan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Menurutnya, syarikat itu bersama dengan peserta industri berharap agar Akta Kecekapan Tenaga dibentangkan di Parlimen pada pertengahan 2019.

"Kami juga percaya usaha aplikasi grid pintar membolehkan pengguna kecil menjadi sebahagian daripada sistem, contohnya, melalui solar atas bumbung atau platform tenaga transaktif yang dijana ‘block chain’ (seperti yang dilaksanakan oleh Siemens di Brooklyn, AS), yang boleh menjadi pengubah penting untuk industri dan ekonomi secara keseluruhannya," katanya.

Selain itu, minat ditunjukkan Petronas untuk mempelbagai kegiatan ke dalam tenaga boleh diperbaharui juga akan membantu memacu industri dan meningkatkan sumbangan kepada pendapatan kerajaan.

Berhubung perkembangan pada tahun ini, LSE secara rasminya sudah melancarkan operasi komersial bagi Stesen Tenaga Solar 29 Mega-Watt, arus ulang alik (MWac) bersih di Kedah pada November dan dengan pengeluaran tenaga bersih tahunan sehingga 61 juta kWj, ia mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada kira-kira 11,000 rumah.

Projek kuasa solar LSE akan menyelamatkan alam sekitar daripada kira-kira 40,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun yang mungkin dihasilkan daripada penjanaan kuasa bahan api fosil.

Pada 23 November, TNB memulakan operasi stesen fotovolta solar skala besar (LSS) yang terbesar di negara ini yang dijangka menjana 1,700 MW RE menjelang 2025.

Projek itu yang berada di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, diperoleh TNB Sepang Solar Sdn Bhd melalui proses pembidaan kompetitif.

LSS itu, yang dijangka membantu kerajaan mencapai sasaran REnya, mempunyai kapasiti 50 MWac, menggunakan 230,000 panel solar dan akan membantu meningkatkan kapasiti RE TNB dalam grid kebangsaan kepada 72.3 MW.

Melangkah ke hadapan, dengan tinjauan Moody's 2019 berhubung sektor tenaga Asia yang stabil sejak 2009, harapannya adalah untuk keadaan perniagaan yang stabil di Malaysia (stabil A3).

Ia berkata, permintaan tenaga dijangka dirangsang pertumbuhan ekonomi, peningkatan pendapatan dan proses pembandaran yang berterusan.

"Pertumbuhan dalam permintaan tenaga dijangka kekal stabil pada 0.5 peratus hingga dua peratus di Malaysia, mencerminkan asas perbandingan yang tinggi pada 2018 dan pertumbuhan KDNK yang perlahan di negara ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif pembekal utiliti elektrik, NUR Power Sdn Bhd, Datuk Abd Rahim Md Noh berkata, asas ekonomi pada 2019 akan sama dengan 2018 tetapi dengan pertumbuhan RE, sejajar dengan inisiatif kerajaan dalam bidang ini.

"Bagaimanapun, untuk Taman Tekonologi Tinggi Kulim (KHTP) di mana NUR Power mempunyai hak eksklusif untuk menjana dan mengagihkan elektrik, akan wujud kawasan pertumbuhan baru serta permintaan pelanggan sedia ada," katanya.

Abd Rahim berkata, inflasi lebih rendah akan membawa kepada penggunaan lebih tinggi yang seterusnya akan menghasilkan aktiviti perkilangan yang lebih tinggi, manakala pertumbuhan domestik dan komersil akan mewujudkan permintaan tambahan dalam sektor ini pada masa akan datang.

"Pertumbuhan dalam ekonomi dunia juga akan mendorong pertumbuhan permintaan elektrik tempatan di Malaysia kerana banyak aktiviti pembuatan kami adalah untuk eksport, terutama di KHTP," katanya.

Berita Harian X