Khamis, 20 Disember 2018 | 5:20pm
MOHAMED Fadzill Hassan (kanan) menjawab soalan wartawan pada Sidang Media Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Sri Utara Batu Ceves. - NSTP/Rosdan Wahid
MOHAMED Fadzill Hassan (kanan) menjawab soalan wartawan pada Sidang Media Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Sri Utara Batu Ceves. - NSTP/Rosdan Wahid

Buka peluang kontraktor Melayu, Bumiputera peroleh kontrak syarikat konsesi

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menggesa kerajaan membuka peluang kepada kontraktor Melayu dan Bumiputera memperoleh kontrak daripada syarikat konsesi.

Presiden PKMM, Datuk Mohamed Fadzill Hassan, berkata syarikat konsesi yang memperoleh kontrak daripada kerajaan perlu menyerahkan projek kerja berkaitan kepada kontraktor kecil terutamanya dalam kelas G1.

Beliau berkata, jika kerajaan tidak meneliti dan menerima cadangan PKMM, sebanyak 91,000 kontraktor bakal terjejas dan kehilangan sumber pendapatan.

“Paling terjejas adalah kontraktor kelas G1 seramai 31,000 yang terpaksa menggulung tikar jika keadaan sebegini berterusan sehingga tahun hadapan.

“Kerajaan perlu memperbanyakkan kerja atau kontrak kepada kontraktor kelas G1 dan bahagikan kontrak supaya mereka mampu untuk turut serta.

“Projek mega juga perlu membabitkan kontraktor kelas G1 hingga G3, agar ramai yang boleh sertai dan sekaligus membantu kontraktor sebegini.

“Malah kami juga mahu kerajaan menaikkan lagi nilai kontrak bagi kelas G1 daripada RM200,000 ketika ini kepada RM300,000,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mohamed Fadzill berkata, PKMM sudah membawa usul berkenaan ke Jabatan Kerja Raya, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi namun sehingga pihaknya masih tidak menerima sebarang jawapan.

Malah beliau berkata, PKMM akan mengadakan pertemuan sekali lagi dan akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.

Katanya, kontraktor kelas G1 hingga G3 adalah golongan yang paling ramai sebanyak 77 peratus manakala kontraktor kelas G7 pula seramai 7,900.

“Kebanyakan kontraktor G1 hingg G3 bergantung kepada projek kerajaan dan kami harap lebih banyak projek kerajaan selepas ini diberikan kepada kontraktor kelas berkenaan.

“Ini kerana kebanyakan kini diberikan kepada kontraktor kelas G7 yang boleh mengambil kerja dengan nilai kontrak sehingga RM20 juta.

“Tidak adil jika ini terus berlaku kepada kontraktor G1. Ini kerana banyak kerja penyelenggaraan perlu dilaksanakan,” katanya.

Berita Harian X