Jumaat, 14 Disember 2018 | 2:44pm
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid (tiga kiri) bertukar dokumen persefahaman dengan Naib Presiden Kanan, Penghantaran Projek dan Teknologi Petronas, Mazuin Ismail (tiga kanan) sempena Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara CIDB Malaysia & PETRONAS mengenai Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP). Foto NSTP/ Zulfadhli Zulkifli.

CIDB, PETRONAS tumpu lima skop kukuh industri O&G

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalin kerjasama strategik dengan PETRONAS menerusi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020, bagi memacu pembangunan dan meningkatkan pencapaian industri pembinaan khususnya dalam sektor minyak dan gas (O&G) tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid, berkata kerjasama berkenaan menumpukan kepada lima skop atau bidang utama bagi mewujudkan kesan lebih positif terhadap rantaian nilai industri pembinaan, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

“Lima skop itu terdiri daripada penyusunan korporat; pemerolehan menerusi amalan terbaik; pembangunan teknologi; jaminan kualiti dan material serta pembangunan kontraktor dan kakitangan pembinaan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) antara CIDB dan PETRONAS, di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan (Penghantaran Projek & Teknologi), Mazuin Ismail dan Naib Presiden (Penghantaran Projek Kumpulan) PETRONAS, Zakaria Kasah.

CITP adalah program yang dirangka bersama penggiat industri tempatan dan antarabangsa, ahli akademik serta agensi kerajaan untuk melonjakkan industri pembinaan setanding dengan negara maju.

Program berkenaan memiliki empat strategik teras iaitu kualiti; keselamatan; profesionalisme; kelestarian produktiviti alam sekitar serta produktiviti dan pengantarabangsaan.

Ahmad Asri berkata, CITP bukan sekadar dokumen CIDB semata-mata tetapi ia adalah dokumen kerajaan yang diiktiraf di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11).

“Justeru, bagi menjayakan transformasi berkenaan, ia memerlukan kerjasama dan pembabitan banyak pihak yang boleh membantu mencetuskan perubahan dalam industri pembinaan di negara ini.

“Mereka adalah terdiri daripada ‘Client’ iaitu pelanggan projek seperti PETRONAS. PETRONAS adalah konglomerat terkemuka Malaysia yang sudah dikenali di peringkat dunia.

“Sebagai pelanggan, mereka mempraktikkan amalan terbaik dan memastikan projek yang dilaksanakan mengikut piawaian serta standard kualiti yang ditetapkan selain mereka berada di kedudukan terbaik untuk mencetus transformasi dalam industri,” katanya.

Jelasnya, beliau yakin menerusi kerjasama itu ia akan meningkatkan penggunaan teknologi dan amalan moden dalam sektor pembinaan O&G di Malaysia.

“Kerjasama berkenaan turut membolehkan PETRONAS menetapkan piawaian keselamatan lebih tegas ke atas syarikat pembinaan lain dan memastikan syarikat tempatan mampu setanding di peringkat antarabangsa,” katanya.

Berita Harian X