Rabu, 12 Disember 2018 | 4:05pm
GAMBAR fail, antara graduan yang hadir ke program temuduga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat Zon Tengah di MAEPS Serdang, Februari lalu. - Foto Zunnur Al Shafiq

SL1M, GEMS perlu penilaian semula skop dan liputan

KUALA LUMPUR: Program latihan paling menonjol dalam Dasar Pasaran Buruh Aktif (ALMP) iaitu Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Graduan (GEMS) perlu dinilai dari segi liputan, impak, kelestarian serta kos dan faedah berkaitan.

Kajian Peralihan dari Sekolah ke Pekerjaan (SWTS) oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menyarankan program terbabit perlu dinilai dari segi liputannya kerana buat masa ini ia hanya membabitkan graduan universiti sahaja.

“Ini kerana alternatif itu dianggap mungkin lebih inklusif, kos efektif dan mencapai angka yang lebih besar,” katanya.

Menurut SWTS, banyak negara menggunakan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan liputan ALMP bagi memastikan kumpulan khusus dalam golongan muda tidak ketinggalan.

Kaji selidik SWTS turut mendapati kaum lelaki yang tercicir dalam sistem pendidikan menjadi satu masalah, sementara wanita pula terus berdepan tekanan dan diskriminasi dalam pasaran buruh.

“Perbezaan antara bandar dan luar bandar serta etnik berterusan, manakala mereka yang dari latar belakang keluarga miskin juga kurang bernasib baik dalam pendidikan dan pencarian pekerjaan.

“Satu lagi risiko yang semakin meningkat dalam kumpulan berkenaan adalah NEETS (golongan muda tidak aktif yang tidak mendapat pendidikan dan terbabit dalam pasaran kerja),” katanya.

Sebaliknya, keperluan dalam program sensitif jantina, undang-undang dan peraturan tidak terlalu ditekankan yang mana memberi kesan kepada kaum lelaki yang kurang pendidikan.

“Program kebolehpekerjaan ketika ini hanya menyasarkan kepada graduan universiti, justeru apa yang diperlukan adalah pemahaman mengenai golongan yang tercicir dari sistem pendidikan seterusnya membangunkan program untuk mereka yang tidak berjaya melepasi tahap universiti.

“Program berkenaan memerlukan asas komuniti dan menawarkan latihan kemahiran berbanding tumpuan kepada akademik, selain sokongan mentor,” katanya.

Berita Harian X