Rabu, 12 Disember 2018 | 4:01pm
Mahasiswi Falkuti Kejuruteraan Bioperubatan, Nurul Hidayah Mohd Yusof sibuk membuat kajian sistem 'sensor' pada My Smart Leg bagi memudahkan pergerakan tanpa sakit dan penat di Falkuti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM). - Foto hiasan/Nik Hariff Hassan

Bidang kejuruteraan, ICT dan perniagaan antara paling dikehendaki

KUALA LUMPUR: Bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan perniagaan adalah antara pekerjaan paling dikehendaki dan paling berpeluang untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurut Kajian Peralihan dari Sekolah ke Pekerjaan (SWTS) Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), berdasarkan Senarai Pekerjaan Kritikal 2017/2018, selain tiga bidang terbabit, bidang-bidang lain yang tersenarai dalam 10 pekerjaan paling dikehendaki dan paling berkelayakan bagi pekerjaan adalah perakaunan, sains aktuari, pekerjaan keselamatan dan kesihatan, pendidikan, perubatan, kimia dan komunikasi.

Sebagai contoh katanya, dalam bidang kejuruteraan, wujudnya permintaan untuk jurutera sivil, mekanikal, kimia, elektrik/elektrikal, mekatronik, perlombongan serta pengurus penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Dalam bidang ICT pula, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), perkomputeran awan, dan data raya menyaksikan syarikat dan tempat kerja mahukan profesional ICT termasuk penganalisis sistem, pembangun perisian, pengaturcaraan aplikasi, pentadbir pangkalan data dan jurutera rangkaian.

“Menerusi perniagaan, walaupun terdapat jumlah graduan yang ramai dalam bidang ini, namun syarikat melaporkan kurangnya profesional perniagaan dengan pengalaman kerja yang berkaitan. Majikan mahukan bakat dengan kepakaran dalam pemasaran, pentadbiran perniagaan, kewangan ekonomi dan pengurusan,” katanya.

SWTS berkata, dalam bidang perakaunan, majikan memberi keutamaan bagi mereka yang memiliki kelayakan perakaunan profesional. Pekerjaan yang mendapat permintaan termasuk juruaudit, eksekutif akaun, perunding cukai, akauntan pengurusan dan pengawal kewangan.

“Bidang sains aktuari, kemahiran menyelesaikan masalah yang dikendalikan dalam industri insurans juga diperlukan di seluruh bidang lain, termasuk sektor perkhidmatan kewangan (bank, syarikat pelaburan, dan lain-lain) dan agensi kerajaan,” katanya.

Menurut SWTS, keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah bidang yang baharu memasuki Senarai Kerjaya Kritikal.

Katanya, dengan banyak kemalangan di tempat kerja dilaporkan, syarikat mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan kakitangan mereka di lapangan, serta mematuhi peraturan keselamatan. Sebahagian daripada pekerjaan dalam permintaan termasuk pegawai keselamatan industri, pegawai keselamatan teknikal dan pegawai keselamatan dan keselamatan pekerjaan.

Menduduki tempat berikutnya adalah, pendidikan, di mana sektor itu mahukan lebih banyak pensyarah universiti dan kolej yang memiliki sarjana atau pemegang PhD sebagai keperluan minimum untuk peranan, pensyarah yang khusus dalam sains kesihatan dan perubatan, sains, bahasa, pendidikan dan kejuruteraan amat diperlukan dalam industri.

Dalam bidang perubatan, walaupun Malaysia mempunyai banyak graduan perubatan, masih terdapat kekurangan doktor pakar. Untuk menjadi pakar, doktor dikehendaki memiliki ijazah pascasiswazah serta pengalaman latihan praktikal yang luas. Beberapa peranan kritikal termasuk pediatrik psikiatri, ahli dermatologi, ahli urologi Ortopedik, pakar bedah dan pakar mata.

“Menerusi bidang kimia yang turut menyertai Senarai Kerjaya Kritikal baharu, banyak syarikat memerlukan ahli kimia, terutama dalam industri pembuatan dan farmaseutikal. Antara pekerjaan dalam permintaan termasuk R&D, pembangunan produk, kawalan dan pakar pencelupan.

“Senarai terakhir adalah komunikasi, terutama dalam bidang perhubungan awam dan pengiklanan. Menurut laporan, kekurangan bakat sebahagiannya disebabkan kekurangan calon dengan pengalaman kerja yang relevan dan kemahiran, seperti pengurusan masa dan kreativiti,” katanya.

Berita Harian X