Rabu, 12 Disember 2018 | 4:01pm
Sistem pendidikan latihan teknik dan vokasional (TVET) perlu ditambah baik. - Foto hiasan

Penambah baikan struktur sistem TVET mampu bawa perubahan besar

KUALA LUMPUR: Pelbagai kelemahan dalam pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) menyebabkan kebanyakan pelajar dan ibu bapa memandang rendah terhadapnya, sekali gus menyarankan supaya sistem pendidikan itu ditambah baik.

Kajian Peralihan dari Sekolah ke Pekerjaan (SWTS) Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata, walaupun pelan tindakan pendidikan negara sememangnya menekankan TVET sebagai satu keperluan untuk pasaran pekerjaan dan ekonomi, namun hanya 13 peratus daripada pelajar sekolah menengah mengikuti TVET, manakala sembilan peratus di politeknik untuk peringkat pengajian tinggi.

Katanya, kebanyakan pelajar dan ibu bapa memandang rendah terhadap TVET dan menganggapnya sebagai ‘jalan mati’, akan tetapi SWTS sebaliknya mendapati pencari kerja dan pekerja muda memandang TVET sebagai kelayakan yang berguna untuk mendapatkan pekerjaan.

Kajian itu berkata, pembaharuan kepada TVET mampu membawa perubahan besar sekiranya penambah baikan dilakukan terhadap keseluruhan struktur sistem itu.

“Ini termasuk membawa masuk pelbagai penyedia latihan di bawah satu badan tadbir urus yang boleh memberi jaminan kualiti kemahiran daripada institusi berbeza.

“Perlunya juga pendekatan dipacu permintaan dengan memastikan pembabitan industri untuk mengaitkan latihan dan keperluan industri.

“Selain itu, perlu ada rangka kerja kelayakan dan standard yang boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada graduan TVET melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti serta meningkatkan status TVET,” katanya.

Kajian itu menyebut, latihan berasaskan kecekapan (CBT) juga kritikal untuk menambah baik TVET kerana ia membantu memastikan melatih individu untuk mempunyai kemahiran bertepatan dengan standard industri.

“TVET berasaskan kecekapan menggunakan kursus modular boleh diguna pakai dalam memenuhi permintaan industri dan membolehkan pelajar menyertai pasaran pekerjaan dengan kelayakan dan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, katanya, sistem latihan dual sering dikatakan sebagai langkah menyokong TVET dan mengurangkan kadar pengangguran belia.

“Sistem ini terkenal menerusi gabungan teori dan latihan seperti dalam persekitaran pekerjaan semasa membolehkan pelajar beralih daripada dunia pendidikan ke dunia pekerjaan dengan mudah.

“Ia sememangnya memainkan peranan penting, bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sekiranya ingin menggunapakai sistem ini,” katanya.

Berita Harian X