Rabu, 12 Disember 2018 | 4:00pm
Pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu dijadikan lebih menarik. - Foto hiasan/http://v2.ismaweb.net

STEM perlu lebih menarik

KUALA LUMPUR: Pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu dijadikan lebih menarik dan boleh diakses dari peringkat awal untuk melahirkan minat dalam kalangan pelajar terhadap mata pelajaran itu.

Kajian Peralihan dari Sekolah ke Pekerjaan (SWTS) Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati walaupun Pelan Tindakan (Blueprint) Pendidikan Malaysia sentiasa menekankan STEM sebagai satu elemen kritikal dalam dunia pekerjaan, hanya 25 peratus daripada pelajar sekolah menengah mengambil mata pelajaran sains, matematik tambahan (44 peratus) dan 32 peratus pelajar peringkat tertiari mendaftar STEM.

Data itu turut menunjukkan, walaupun jumlah pelajar perempuan mengatasi lelaki dengan angka yang besar di pendidikan tertiari, lebih ramai pelajar lelaki yang menyertai mata pelajaran STEM.

STEM yang menekankan kemahiran dan pengetahuan kini menjadi satu permintaan dalam kalangan majikan yang mana sejak 1970, kerajaan melaksanakan sasaran nisbah 60:40 pelajar sains berbanding sastera.

Bagaimanapun kajian SWTS menunjukkan, walaupun jumlah pelajar perempuan mengatasi lelaki dengan angka yang besar dalam pendidikan tertiari, namun pelajar lelaki yang lebih ramai menyertai mata pelajaran STEM.

“Minat terhadap STEM boleh diterapkan pada peringkat awal. Apabila idea STEM didedahkan kepada kanak-kanak, kami mencipta asas minat terhadap konsep ini.

“Ini boleh menghasilkan proses pembelajaran berterusan, yang mana ia juga mampu membawa ke arah mendapatkan kerjaya dalam bidang berkaitan.

“Kini terdapat juga langkah memperkenalkan ‘maker spaces’ di sekolah, yang mana ia bukan sahaja untuk mempromosi STEM, tetapi juga menanamkan kemahiran abad ke-21,” katanya.

Menurut kajian itu, guru memainkan peranan penting dalam memacu STEM dan menjadikan ia mata pelajaran pilihan pelajar, yang mana mereka perlu mempunyai kelayakan sewajarnya serta mendapat sokongan dan sumber diperlukan.

“Tenaga pengajar atau peralatan dan kemudahan yang tidak berkualiti sering dikatakan menjadi punca terhadap prestasi STEM yang kurang memberansangkan.

“Pelajar perlu diberi motivasi untuk menjadikan STEM sebagai pilihan mereka. Justeru, peranan ‘role model’ khususnya dalam kalangan wanita sememangnya diperlukan,” katanya.

Selain itu, terdapat juga langkah mengintegrasikan STEM dengan pendidikan sastera (STEAM) yang mana ia menawarkan peluang kepada pelajar untuk belajar secara kreatif.

“STEAM mempunyai konsep yang sama, tetapi menerusi proses pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah secara kreatif,” katanya.

Berita Harian X