Rabu, 12 Disember 2018 | 4:00pm
GAMBAR fail, pelajar mengunakan peralatan pemotong besi ketika menyiapkan tugasan di bengkel Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Ketidakpadanan bekalan dan permintaan bakat pengaruhi pekerjaan

KUALA LUMPUR: Golongan muda akan menjadi penentu sama ada Malaysia akan mampu mencapai status pendapatan tinggi, demikian menurut laporan Kajian Peralihan dari Sekolah ke Pekerjaan (SWTS) Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Justeru, kerajaan menerusi pelbagai dasar jelas menunjukkan komitmen untuk meningkatkan modal insan, termasuk memberi tumpuan terhadap mentransformasi pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional bagi memenuhi permintaan industri, menambah baik kualiti pendidikan serta meningkatkan kecekapan pasaran buruh.

Bagaimanapun, ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan bakat dan tenaga kerja muda kekal serius.

Laporan itu berkata, selepas tamat pengajian, golongan muda berdepan kesukaran untuk menyertai pasaran kerja meskipun generasi muda pada masa ini terdiri daripada generasi yang mempunyai pendidikan terbaik.

Pada masa sama, katanya, majikan turut melaporkan kesukaran untuk merekrut pekerja berkemahiran dan mengupah pekerja asing.

“Berikutan itu, golongan muda beralih kepada pekerjaan berisiko seperti bekerja secara sementara, sambilan, pekerjaan kasual dan ‘freelance’ berbanding pekerjaan sepenuh masa.

“Pekerjaan jenis tidak formal itu sememangnya menawarkan peluang baharu, namun mempunyai perlindungan sosial dan pekerja yang terhad,” katanya.

Laporan itu menyebut, adalah penting untuk mengetahui mengapa sistem pendidikan dan latihan Malaysia gagal memastikan golongan muda mendapatkan pekerjaan.

“Kunci untuk mentransformasi golongan muda adalah menerusi pekerjaan sesuai dan produktif. Tugas itu amat penting kerana menjelang 2020, usia populasi Malaysia akan meningkat dan tenaga kerja muda akan memainkan peranan penting.

“Peralihan daripada sekolah ke pekerjaan adalah detik kritikal. Golongan muda sememangnya adalah masa depan negara, dan sekiranya peralihan itu gagal, mereka akan menjadi ancaman terhadap sosial dan kestabilan politik.

“Menangani isu pengangguran adalah antara tumpuan utama dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia 2016-2020,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, topik pekerjaan sesuai dan hal ehwal belia juga termasuk dalam agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 2030 yang mana ia turut mendapat sokongan dari Malaysia.

Berita Harian X