Selasa, 13 November 2018 | 1:25pm
KETUA Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain. - Foto Mohd Fadli Hamzah

IR 4.0 gagal jika organisasi awam, swasta tidak berubah

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak dapat mencapai Revolusi Industri 4.0 sekiranya organisasi awam dan swasta masih tidak mengamalkan peningkatan asas teknologi, inovasi dan produktiviti.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd Razali Hussain, berkata pembabitan organisasi perlu menyeluruh termasuk proses pencapaian kepimpinan bagi setiap peringkat.

Bagaimanapun, Mohd Razali berkata, ketika ini Malaysia mencatatkan pertumbuhan kadar produktiviti sebanyak 3.2 peratus dan berada di landasan bagi mencapai sasaran pertumbuhan kepada 3.7 peratus akhir tahun ini, didorong oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif dan dasar yang sedang dijalankan.

Beliau berkata, ketika ini juga, projek inovasi dan peningkatan aktiviti organisasi awam dan swasta mencatatkan penjimatan sebanyak RM374 juta.

“Daripada angka itu MPC yakin sasaran kita bagi penjimatan hasil dari peningkatan aktiviti sebanyak RM515 juta tahun ini mampu dicapai.

“Malah MPC bersama pihak berkepentingan lain juga menaikkan sasaran kepada RM520 juta bagi 2019 dan angka itu akan terus kita tingkatkan tahun ke tahun.

“Ini bagi memberi penanda aras kepada organisasi menjalankan sebanyak boleh projek inovasi dan kreatif seiring dengan matlamat menghadapi Industri 4.0,” katanya selepas merasmikan Persidangan Produktiviti dan Inovasi (APIC) 2018 di sini, hari ini.

Mohd Razali berkata, pembabitan organisasi serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga menjadi semakin rancak menerusi program peningkatan produktiviti yang dijalankan.

Dari situ katanya, pemilik perniagaan akan melihat perbandingan dari aspek tahap prestasi yang diperlukan dan kesungguhan serta komitmen mereka meningkatkan lagi prestasi sedia ada.

“Seperti APIC 2018 kali ini juga menunjukkan peningkatan penyertaan dengan sebanyak 305 kumpulan dari 171 organisasi mengambil bahagian. 58 peratus adalah daripada sektor swasta dan 48 peratus daripada sektor awam.

“Aktiviti peningkatan produktiviti dan inovasi perlu diserapkan dalam minda dan diimplimentasikan dalam budaya kerja seharian.

“Melalui aktiviti APIC 2018, banyak idea dapat direalisasikan yang membawa kepada penjimatan kos operasi serta meningkatkan produktiviti organisasi dan pekerja,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Razali berkata, MPC juga menyediakan sistem Benchmarking Online Networking Database (BOND) yang memberikan amalan terbaik dalam organisasi yang boleh dijadikan rujukan kepada semua pihak.

Beliau berkata, BOND mempunyai 271 kajian amalan produktiviti terbaik daripada organisasi yang melaksanakan program peningkatan produktiviti mereka.

Berita Harian X