Rabu, 7 November 2018 | 9:59pm

SC komited kukuh keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan pelanggaran undang-undang sekuriti, kata Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar.

Beliau berkata wujud kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan kerajaan dan pengawal selia terhadap pertumbuhan ekonomi mampan yang memerlukan pendekatan kawal selia yang proaktif.

Katanya kerajaan baharu bertekad untuk memulihkan status Malaysia dalam kedudukan tadbir urus awam di peringkat global.

“Menjadi tanggungjawab saya dan SC untuk melaksanakan sepenuhnya tanggungjawab kami secara cekap dan profesional serta integriti pada tahap tertinggi,” katanya dalam kenyataan sempena Sidang Meja Bulat Asia mengenai Tadbir Urus Korporat (ARCG) tahunan di sini, hari ini.

Syed Zaid berkata pengawal selia perlu menyediakan pengawasan yang berkesan terhadap aktiviti perniagaan untuk membina perniagaan yang kukuh.

“Penting untuk memastikan tadbir urus yang baik sekarang daripada menanggung kerugian yang lebih teruk daripada tadbir urus yang tidak baik,” katanya.

Beliau menegaskan kepelbagaian jantina dalam pengurusan dan pengurusan kanan kekal menjadi keutamaan dalam agenda tadbir urus korporat SC.

Katanya bagi mempercepatkan pencapaian sasaran Malaysia sebanyak 30 peratus wanita dalam Lembaga Pengarah menjelang 2020, SC telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan lebih kepelbagaian dalam komposisi Lembaga Pengarah.

“Kami akan bekerjasama erat dengan Majlis Pelabur Institusi untuk memacu sasaran kepelbagaian jantina di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, lebih 100 pengawal selia, ahli akademik, wakil dari institusi global dan serantau menyertai ARCG.

Acara tertutup selama dua hari itu adalah anjuran bersama SC dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

-BERNAMA

Berita Harian X