Khamis, 25 Oktober 2018 | 3:30pm
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob. - Foto Salhani Ibrahim

Sektor pembinaan dijangka perlahan tahun depan

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan sektor pembinaan negara dijangka mencatat pertumbuhan lebih perlahan tahun depan di tengah-tengah semakan beberapa projek mega selain selari jangkaan pertumbuhan perlahan industri pembinaan global.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob, berkata sungguhpun jangkaan pertumbuhan yang lebih perlahan, kementerian itu yakin sektor berkenaan akan kekal antara penyumbang utama kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun depan.

Beliau berkata, momentum pertumbuhan keseluruhan sektor kecil kejuruteraan sivil dijangka lembap disebabkan semakan keutamaan ke atas projek infrastruktur bagi merasionalisasikan kedudukan fiskal kerajaan.

“Beberapa projek disemak semula kerajaan tetapi kami percaya industri pembinaan akan masih antara penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis pelancaran awal pameran dan persidangan International Construction Week 2019 (ICW 2019) dan ASEAN Super 8 di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB Malaysia), Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali.

Sektor pembinaan Malaysia mencatat pertumbuhan bernilai RM35.6 bilion pada suku kedua 2018, pertumbuhan tahun-ke-tahun sederhana 5.3 peratus, demikian menurut data Jabatan Perangkaan.

Sektor itu dipacu pertumbuhan positif dalam kejuruteraan sivil dan aktiviti subsektor, yang berkembang masing-masing 23.6 peratus dan 12.6 peratus.

Tahun lalu industri pembinaan negara mencatat pertumbuhan 6.7 peratus.

Sementara itu, Ahmad Tajuddin berkata ICW 2019 bakal menjadi edisi terbesar yang dijangka menarik lebih 1,000 syarikat membabitkan 650 ruang pameran.

Tambahan lagi, buat pertama kalinya tahun ini ICW akan menggabungkan ASEAN Super 8 ke dalamnya.

ASEAN Super 8 adalah gabungan lapan pameran berkaitan sektor pembinaan yang terdiri daripada Ecobuild Southeast Asia; Tenaga Expo & Forum; Green Energy Expo & Forum; ASEAN Solar Expo & Forum; ASEAN Ecolight; ASEAN Lift Expo & Forum; Heavy Mach; dan IFSEC Souteast Asia.

ICW 2019 akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 hingga 21 Mac 2019.

Berita Harian X