X
Khamis, 18 Oktober 2018 | 6:43pm
Pengarah Urusan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum. - Foto Owee Ah Chun
Pengarah Urusan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum. - Foto Owee Ah Chun

Galakkan usaha miliki rumah sendiri

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd berharap kerajaan akan terus menggalakkan pemilikan rumah sendiri khususnya kepada pembeli rumah kali pertama dengan melonggarkan garis panduan pinjaman perumahan.

Pengarah Urusan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata industri hartanah berdepan cabaran dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya disebabkan isu kelayakan pinjaman.

“Kami menunggu Dasar Perumahan Negara yang akan diperkenalkan dan inisiatif baharu yang dijangka memberi manfaat kepada pembeli rumah kali pertama, selain menangani permintaan terhadap rumah mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan mengenai harapan syarikat itu dalam Bajet 2019.

Beliau berkata industri hartanah mempunyai kesan pengganda yang lebih besar berbanding industri lain, sewajarnya memberi kesan lebih besar terhadap ekonomi yang lebih luas.

Beliau turut berharap kerajaan akan meneruskan pengecualian perbelanjaan duti setem untuk pembeli rumah kali pertama dan memperluas insentif bagi hartanah mampu milik berharga kurang daripada RM500,000.

“Inisiatif kerajaan mengecualikan 100 peratus duti setem hartanah untuk rumah pertama berharga di bawah RM300,000 ketika ini adalah langkah yang baik bagi mengurangkan beban kepada pembeli rumah pertama.

“Namun, kami berharap inisiatif tersebut akan diperluas kepada hartanah pertama berharga di bawah RM500,000 dengan mengambil kira harga hartanah mampu milik di bandar-bandar utama di Malaysia,” katanya.

Sebagai pemaju hartanah, beliau berharap kerajaan akan mengurangkan kos pematuhan kerana ia faktor terpenting yang memberi kesan kepada aliran tunai pemaju.

“Kami juga berharap kerajaan dapat mengadakan kempen pemilikan rumah dengan kerjasama semua pihak berkepentingan untuk mewujudkan pelan strategik bagi menggalakkan pemilikan rumah khususnya rumah mampu milik. Usaha ini akan membantu mengurangkan rumah yang tidak terjual di pasaran,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X