Khamis, 18 Oktober 2018 | 5:08pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir tiba untuk membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat, Parlimen. Turut hadir, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Asyraf Hamzah

Enam tonggak sokong pertumbuhan mapan

KUALA LUMPUR: Perubahan yang signifikan perlu untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat, mengambil kira isu dan cabaran yang dihadapi kerajaan baharu.

Ia terutamanya berkaitan defisit kepercayaan terhadap kerajaan terdahulu.

Susulan itu kerajaan dalam laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), memperkenalkan reformasi menyeluruh untuk memperkukuhkan kapasiti pentadbiran dan menambah baik tadbir urus.

Tonggak pertama bertujuan mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam, diikuti tonggak kedua bagi memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.

Tonggak ketiga bertujuan untuk mewujudkan pembangunan wilayah yang seimbang, sementara tonggak keempat adalah untuk memperkasa modal insan.

Tonggak kelima memberi tumpuan untuk meningkatkan kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau. Tonggak terakhir meletakkan asas untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi meliputi semua sektor ekonomi.

Tonggak I: Mereformasi Tadbir Urus ke arah Meningkatkan Ketelusan dan Kecekapan Perkhidmatan Awam

Satu daripada bidang tumpuan KSP adalah menambah baik tadbir urus serta mendukung akauntabiliti dan ketelusan dalam pentadbiran Kerajaan. Langkah yang tegas dan berkesan akan dilaksana untuk memacu agenda reformasi ke arah memperkukuh mekanisme semak dan imbang pada semua peringkat bagi mengembalikan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat.

Dalam hal ini, inisiatif yang berkaitan dengan empat bidang keutamaan akan dilaksana iaitu menambah baik tadbir urus pada semua peringkat, meningkatkan integriti dan akauntabiliti, menguatkuasa pengurusan kewangan awam yang berhemat dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam.

Bidang Keutamaan dan Strategi

Tadbir urus pada semua peringkat akan ditambah baik melalui penguatkuasaan tegas doktrin pengasingan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kewangan awam akan terus diperkukuh dengan menguatkuasakan pelaksanaan pengurusan secara berhemat. Bidang keutamaan ini akan dilaksana dengan mempertingkat sistem belanjawan, menambah baik pengurusan perolehan serta memperkukuh rangka kerja pengurusan prestasi, pemantauan dan penilaian.

Di samping itu, usaha ke arah mentransformasi perkhidmatan awam yang lebih berpaksikan rakyat akan dipergiat.

Tonggak II: Memperkukuh Pembangunan Inklusif dan Kesejahteraan Rakyat

Pelaksanaan pembangunan inklusif akan diperkukuh bagi meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Berasaskan penekanan kepada pertumbuhan ekuiti, pelaksanaan ini akan menyediakan peluang yang saksama bagi membolehkan rakyat turut serta dan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan inklusif.

Sementara itu, usaha akan dipergiat untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelbagai langkah. Matlamat ini akan dicapai melalui dua bidang keutamaan, iaitu memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama dan meningkatkan kesejahteraan untuk semua.

Bidang Keutamaan dan Strategi

Peningkatan pendapatan dan kuasa beli isi rumah B40 adalah penting bagi menambah baik kualiti hidup dan daya tahan serta mengurangkan ketidaksamarataan pendapatan secara keseluruhan.

Dalam hal ini, program meningkatkan pendapatan serta penyediaan keperluan asas akan terus diberikan kepada kumpulan isi rumah miskin dan berpendapatan rendah.

Usaha juga akan dipergiat bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan isi rumah B40 untuk menambah baik kebolehpasaran dan produktiviti serta menggalakkan keusahawanan.

Inisiatif utama termasuk meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran yang berkualiti pada semua peringkat, menyediakan program pembangunan keusahawanan yang menyeluruh dan bersepadu serta menggalakkan penerima gunaan teknologi moden dan amalan terbaik.

Strategi untuk membangunkan BEC yang berdaya tahan dan mampan akan diteruskan bagi meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam ekonomi.

Langkah utama termasuk meningkatkan kebolehpasaran Bumiputera dalam pekerjaan berpendapatan tinggi, meningkatkan kawalan efektif dan kemampanan pemilikan korporat Bumiputera serta membangunkan PKS yang berdaya tahan dan mampu menembusi pasaran global.

Sementara itu, program khas akan dilaksana bagi Orang Asli, Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak di kawasan luar bandar dan pedalaman serta kumpulan tertentu dalam kalangan masyarakat India dan Cina untuk membangunkan potensi ekonomi dan membasmi kemiskinan.

Kesejahteraan rakyat kekal sebagai keutamaan tertinggi dalam merealisasi pendekatan pembangunan seimbang. Ke arah ini, usaha akan ditumpu bagi meningkatkan kuasa beli, menyediakan perumahan mampu milik dan berkualiti, memperkukuh sistem penyampaian penjagaan kesihatan, menjadikan negara lebih selamat dan terjamin serta menggalakkan nilai murni dan gaya hidup aktif.

Penguatkuasaan bagi membendung manipulasi bekalan dan harga akan dipergiat manakala lebih banyak ruang yang menawarkan barangan dan perkhidmatan pada harga patut akan disediakan bagi menangani peningkatan kos sara hidup.

Program perumahan akan diteruskan melalui penyediaan perumahan mampu milik dan berkualiti kepada isi rumah miskin serta berpendapatan rendah dan sederhana.

Tonggak III: Menuju ke arah Pembangunan Wilayah yang Seimbang

Usaha akan digiatkan untuk menangani ketidakseimbangan pembangunan dalam kalangan enam wilayah iaitu Utara, Timur, Tengah, Selatan, Sabah dan Sarawak bagi menggalakkan pertumbuhan yang saksama dan meningkatkan kesejahteraanrakyat.

Tumpuan akan diberi bagi meningkatkan aktiviti ekonomi terutama di kawasan kurang membangun dalam negeri dan wilayah serta mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.

Di samping itu, bandar utama dan kawasan pertumbuhan yang dikenal pasti akan dimanfaatkan untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi. Kerjasama antara negeri akan terus dipertingkat bagi memastikan pembangunan wilayah yang seimbang.

Pada masa sama, kerjasama serantau ASEAN akan dipergiat bagi mempercepat dan memudah cara aktiviti ekonomi di kawasan sempadan. Justeru, tiga bidang keutamaan dikenal pasti untuk mencapai pembangunan wilayah yang seimbang, iaitu memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta mempercepat pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Bidang Keutamaan dan Strategi

Mempercepat pertumbuhan ekonomi serta menangani ketidakseimbangan antara dan dalam wilayah bagi menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang.

Langkah ini termasuk memperkukuh dan memperkemas perancangan pembangunan negeri dan wilayah untuk merangsang pembangunan ekonomi dalam menggalakkan pertumbuhan seimbang.

Usaha juga akan dipergiat untuk memoden dan mempelbagai asas ekonomi bagi pertumbuhan ekonomi yang rancak dan dinamik.

Di samping itu, bandar utama akan dimanfaatkan sebagai pemangkin bagi menarik pelaburan dan perdagangan serta meningkatkan ketersambungan dengan kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Sementara itu, kerjasama serantau ASEAN akan digiatkan untuk mempercepat dan memudah cara pembangunan ekonomi di zon ekonomi khas serta meningkatkan ketersambungan bagi menggalakkan aktiviti pelancongan dan perdagangan.

Infrastruktur luar bandar akan dipertingkat untuk memacu aktiviti sosioekonomi dalam usaha merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Hubung kait antara bandar dan luar bandar juga akan ditambah baik untuk menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih baik dan memperluas perkhidmatan ke kawasan luar bandar.

Di samping itu, aktiviti ekonomi setempat di luar bandar akan diwujudkan untuk menjana pendapatan serta meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan bagi masyarakat luar bandar.

Pembangunan di wilayah Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan dengan tumpuan diberi kepada pengukuhan pembangunan inklusif dan saksama untuk memberi manfaat kepada rakyat. Usaha berterusan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi di Sabah dan Sarawak akan dilaksana dengan memanfaatkan sumber kekayaan dan bidang terpilih melalui pelaksanaan pelbagai strategi.

Tonggak IV: Memperkasa Modal Insan

Pembangunan modal insan akan terus menjadi keutamaan untuk memperkasa tenaga kerja dalam menyokong pertumbuhan ekonomi. Tumpuan akan diberi untuk mewujudkan modal insan yang berkemahiran, berpengetahuan dan inovatif bagi memenuhi keperluan industri.

Inisiatif pembangunan modal insan akan menyediakan peluang untuk pekerjaan yang berkualiti serta memastikan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti ke arah membina negara yang lebih inklusif, saksama dan makmur.

Inisiatif ini akan dilaksana melalui empat bidang keutamaan, iaitu mereformasi pasaran buruh, menambah baik kecekapan dan produktiviti buruh, meningkatkan akses kepada pendidikan dan latihan yang berkualiti serta memupuk jalinan industri-akademik yang lebih kukuh.

Bidang Keutamaan dan Strategi

Kerajaan akan mempergiat usaha dalam menangani isu pewujudan pekerjaan mahir yang tidak mencukupi, pertumbuhan gaji yang rendah, kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan siswazah serta ketidakpadanan kemahiran.

Usaha juga akan diambil untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dengan menggalakkan lebih banyak automasi dan mengawal selia bilangan pekerja asing dengan ketat melalui pengenalan kepada sistem levi berperingkat.

Di samping itu, kecekapan dan produktiviti buruh akan ditambah baik dengan memperkukuh hak pekerja untuk memperbaiki keadaan kerja serta meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh bagi memperluas kumpulan bakat.

Tonggak V: Mempertingkat Kemampanan Alam Sekitar melalui Pertumbuhan Hijau

Inisiatif pertumbuhan hijau akan dipertingkat bagi memastikan kemampanan sumber asli dan meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana di samping mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

Usaha ke arah pertumbuhan hijau akan terus dipergiat untuk mencapai pembangunan mampan bagi melindungi khazanah semula jadi untuk generasi masa kini dan hadapan. Matlamat ini akan dicapai melalui tiga bidang keutamaan, iaitu memperkukuh tadbir urus, memulihara sumber asli serta menangani perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana.

Bidang Keutamaan dan Strategi

Struktur tadbir urus yang dipertingkat akan memudah cara peralihan ke arah pertumbuhan hijau dan membolehkan pengurusan sumber yang lebih baik. Oleh itu, usaha untuk memperkukuh tadbir urus alam sekitar melalui strategi utama akan dilaksana dalam tempoh akhir rancangan.

Strategi ini termasuk pengukuhan rangka kerja dasar, perundangan dan institusi, peningkatan kapasiti dan keupayaan dalam penguatkuasaan dan pemantauan serta meningkatkan kesedaran dan memupuk tanggungjawab bersama dalam kalangan pihak berkepentingan.

Kerajaan akan terus memastikan pemuliharaan dan pengurusan sumber asli yang lebih baik. Pengurusan yang cekap dan penggunaan sumber asli secara mampan akan diberi penekanan dalam memastikan kemampanan alam sekitar dan akses secara berterusan kepada sumber asli oleh generasi masa kini dan masa hadapan.

Dalam hal ini, strategi utama akan dilaksana melalui pemuliharaan kawasan terestrial dan air daratan serta pesisir pantai dan marin. Di samping itu, punca pendapatan dan keupayaan orang asli dan masyarakat setempat akan dipertingkat untuk menyokong pemuliharaan sumber asli.

Usaha untuk menangani perubahan iklim akan dipergiat melalui pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) daripada sektor utama pelepasan GHG, terutama tenaga, pengangkutan dan sisa.

Di samping itu, usaha untuk memanfaatkan nilai ekonomi melalui amalan kecekapan sumber akan dipergiat dengan memperluas pelaksanaan amalan SCP.

Tonggak VI: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi

Usaha akan dilaksana untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.

Pada masa sama, langkah akan dipergiat untuk meningkatkan pembangunan sektor dan membangunkan aktiviti nilai ditambah yang tinggi dengan kandungan yang berintensifkan pengetahuan.

Langkah ini disokong oleh tenaga kerja mahir dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, pertanian dan pembinaan. Sementara itu, penyediaan infrastruktur dan utiliti akan terus diperkukuh untuk menyokong serta memudah cara aktiviti ekonomi.

Justeru, tiga bidang keutamaan dikenal pasti, iaitu memperkukuh pertumbuhan sektoral dan mereformasi struktur, meningkatkan inovasi dan penerimagunaan teknologi serta menyediakan infrastruktur berkualiti.

Bidang Keutamaan dan Strategi

Strategi untuk memperkukuh pertumbuhan sektor dan melaksana reformasi struktur termasuk meningkatkan pertumbuhan sektoral, meningkatkan keupayaan eksport dan menambah baik kecekapan pasaran serta memudah cara urusan menjalankan perniagaan.

Dalam hal ini, langkah akan diambil untuk mempercepat pemodenan sektor ekonomi, meningkatkan kesediaan eksport dan pengantarabangsaan, menggalakkan persaingan yang adil serta menambah baik kawal selia dan amalan perdagangan.

Di samping itu, PKS akan digalak untuk mempertingkat aktiviti dalam rantaian nilai ke arah menghasilkan barangan dan perkhidmatan yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi. Sementara itu, dalam sektor pertanian, strategi akan dilaksana bagi memastikan jaminan bekalan dan keselamatan makanan.

Keutamaan juga akan diberi untuk mempercepat inovasi dan penerimagunaan teknologi dalam kalangan firma tempatan, terutama PKS bagi melonjakkan produktiviti dan bersaing pada peringkat global.

Langkah yang akan diambil termasuk memanfaatkan potensi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang dapat menyediakan peluang perniagaan dan penjanaan kekayaan baharu.

Penyediaan infrastruktur yang berkualiti dan utiliti yang cekap akan diperkukuh untuk melonjakkan pembangunan ekonomi serta memastikan kemampanan bagi memenuhi permintaan masa kini dan masa hadapan.

Penekanan yang lebih akan diberi untuk terus mengintegrasi mod pengangkutan yang berbeza bagi menyediakan ketersambungan yang lancar untuk penumpang dan barangan.

Logistik dan kemudahan perdagangan akan diperkukuh untuk menambah baik kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan di sepanjang rantaian nilai bagi meningkatkan daya saing.

Infrastruktur digital akan ditambah baik melalui peluasan rangkaian gentian optik bersama dengan pembangunan komersial bagi infrastruktur komunikasi yang menyediakan ketersambungan kepada lebih banyak isi rumah.

Berita Harian X