Khamis, 18 Oktober 2018 | 2:52pm
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia dan Bruine, Dr Ying-Ru Lo. - Foto iigh.unu.edu
Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia dan Bruine, Dr Ying-Ru Lo. - Foto iigh.unu.edu

Cukai soda beri manfaat berganda - WHO

PUTRAJAYA: Cadangan untuk mengenakan cukai ke atas minuman bergula atau dipanggil cukai soda pada pembentangan Bajet 2019 adalah penyelesaian yang boleh memberikan manfaat berganda dari segi fiskal dan kesihatan.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia dan Bruine, Dr Ying-Ru Lo, berkata sama seperti cukai ke atas alkohol dan tembakau, menjadikan minuman kurang sihat lebih mahal adalah satu langkah positif.

Katanya, isi rumah berpendapatan lebih rendah khususnya lebih bertindak balas terhadap kenaikan harga dan lebih berkemungkinan untuk mengehadkan penggunaan gula, sekali gus mengurangkan perbelanjaan penjagaan kesihatan serta meningkatkan kesejahteraan dalam jangka panjang.

“Dalam konteks semasa, kumpulan yang paling kurang bernasib baik kebiasaannya tidak mempunyai banyak pilihan memandangkan makanan dan minuman kurang menyihatkan adalah lebih murah berbanding pilihan lebih menyihatkan.

“Satu kaji selidik terbaharu Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di flat kos rendah di Malaysia mendedahkan bahawa 97 peratus isi rumah menyatakan bahawa harga makanan yang tinggi menghalang mereka daripada menyediakan makanan sihat untuk anak-anak.

“Selain kesihatan, isi rumah kurang berkemampuan di Malaysia akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan sosial dipertingkatkan yang mungkin boleh dilaksanakan daripada pertambahan hasil kerajaan daripada cukai ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia kini adalah salah satu negara paling gemuk di Asia. Hampir separuh orang dewasa mempunyai berat berlebihan atau obes, manakala kanak-kanak juga semakin terjebak.

Pada 2006, 7.7 peratus penduduk berusia lima hingga 19 tahun adalah obes, dan sedekad selepas itu, ia meningkat ke paras membimbangkan sebanyak 12.7 peratus, menurut data WHO.

Obesiti menjejaskan perkembangan fizikal, sosial dan psikologi kanak-kanak.

Kanak-kanak yang obes berkemungkinan kekal obes apabila dewasa dan mendapat penyakit tidak berjangkit seperti diabetes jenis-2, masalah kardiovaskular, pernafasan dan sukar tidur.

Ying-Ru berkata, cukai ke atas minuman bergula bukan satu penyelesaian sukar dilaksanakan, namun ia bukan satu-satunya langkah diperlukan untuk menangani krisis obesiti.

Bagaimanapun, katanya ia mempunyai impak langsung ke atas perbelanjaan minuman bergula.

“Jika dilaksanakan dengan langkah-langkah lain seperti pendidikan, subsidi makanan sihat, label nutrisi dan peraturan pemasaran makanan, impaknya ke atas obesiti adalah kuat.

“Kami menggesa kerajaan dan sektor korporat menjadikan makanan bernutrisi dan menyihatkan lebih mudah diperoleh dan mampu dibeli, khususnya kepada golongan termiskin,” katanya.

Ketika ini, 36 negara seluruh dunia melaksanakan cukai ke atas minuman bergula termasuk Brunei, Perancis, Mexico, Arab Saudi, Thailand dan United Kingdom (UK).

Mexico adalah antara negara pertama di dunia memperkenalkan cukai minuman bergula pada 2014 dan kajian mendapati kenaikan 10 hingga 12 peratus harga menyebabkan penggunaannya berkurangan lebih tinggi berbanding cukai tembakau.

Berita Harian X