Ahad, 14 Oktober 2018 | 6:56pm
FOTO hiasan
FOTO hiasan

Cukai baharu: Apa pandangan pakar

KUALA LUMPUR: Berikutan pembentangan Belanjawan 2019 yang kini semakin hampir, ramai pakar memberikan pandangan berbeza terhadap cadangan kerajaan untuk memperkenal cukai baharu pada masa depan, berdasarkan pelbagai kebimbangan.

Kemungkinan pengenalan Cukai Pusaka, Cukai Digital, Cukai Keuntungan Modal dan Cukai Soda serta menaikkan cukai rokok, alkohol dan judi, telah pun dikaji secara menyeluruh oleh pakar dalam bidang masing-masing, meliputi cabaran dan kesan pelaksanaan cukai terbabit kepada pengguna.

Cukai Harta Pusaka

Yap Shin Siang dari YYC Tax Consultant, berkata pelaksanaan cukai harta pusaka mempunyai batasan kerana ia bercanggah dengan Akta Cukai Keuntungan Hartatanah (RPGT) 1976.

"RPGT dikenakan ke atas keuntungan hasil daripada pelupusan atau penjualan hartanah atau saham dalam syarikat hartanah. Selain bertentangan dengan Akta RPGT, ia juga akan mewujudkan cukai berganda," katanya.

Ada beberapa syarat yang tidak terikat kepada RPGT:

(i) Pelupusan harta yang dibuat selepas lima tahun dari tarikh pemerolehan hartanah selain daripada syarikat, dan bukan individu bukan pemastautin dan bukan pemastautin tetap, tidak tertakluk kepada RPGT.

(ii) Pemindahan aset secara pemberian oleh penderma warganegara, dengan penderma dan pemeroleh itu terdiri daripada suami dan isteri, ibu bapa dan anak dan nenek dan cucu.

(iii) Keuntungan daripada pelupusan kediaman persendirian warganegara Malaysia atau pemastautin tetap.

"Dalam situasi seorang bapa meninggal dunia dan hartanya diserahkan kepada anak lelaki, RPGT tidak dikenakan ke atas harta itu, namun dikenakan cukai pusaka.

"Oleh itu, ini bertentangan dengan RPGT kerana RPGT tidak mengenakan cukai ke atas harta itu sekali lagi apabila pemilik harta itu meninggal dunia dan menyerahkan harta itu kepada anaknya," katanya.

Beliau berkata pelaksanaan cukai pusaka boleh mendorong individu untuk menjual semua harta dan berhijrah ke luar negara, mewujudkan inflasi cukai dan meningkatkan beban pemeroleh untuk menanggung harta yang telah dipindahkan kepadanya.

"Ini akan menyebabkan harta dijual secara paksa memandangkan pemeroleh tidak mampu membayar caj cukai harta," kata Yap.

Akta RPGT 1976 menyebut cukai itu dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah.

Cukai Digital

Berikutan pertumbuhan ekonomi digital yang pesat sejak beberapa tahun lalu, wujud keperluan untuk melaksanakan cukai digital bagi menambah hasil kerajaan.

Bagaimanapun, platform dalam talian tidak memiliki sebarang item dan oleh itu, kebarangkalian tinggi cukai dua kali atau mungkin tiga kali ganda dikenakan.

Sebagai contoh, Yap berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri melihat pembayaran pemasaran digital kepada syarikat bukan pemastautin sebagai pendapatan royalti dan dengan itu tertakluk kepada Cukai Penangguhan (WHT).

WHT ialah cukai yang dikenakan ke atas pengguna untuk pelbagai jenis pembayaran tertentu (faedah, royalti, perkhidmatan) dibuat kepada syarikat bukan pemastautin.

"Apa yang boleh dilakukan ialah mempromosikan sektor pemasaran digital dengan lebih baik dan memberikan potongan dua kali untuk menggunakan perkhidmatan pemasaran digital. Kerajaan juga harus mengkaji definisi bayaran pemasaran digital dan mengeluarkannya daripada definisi royalti," katanya.

Cukai Soda

Mengenai Cukai Soda, Kamlesh Mahtani, Ketua Jualan, Pemula Niaga dan Perniagaan Kecil firma perakaunan Sage berkata pelaksanaan cukai itu pada mulanya akan memberi kesan ke atas industri minuman, namun akan kembali ke tahap asal selepas itu.

"Perniagaan yang menjual minuman ini bimbang akan meraih pendapatan yang lebih rendah menerusi jualan produk ini kerana harga akan dinaikkan. Namun ini memberi peluang kepada pengilang minuman untuk mengurangkan jumlah gula dalam minuman mereka ke tahap tertentu untuk dikecualikan daripada cukai," katanya.

Bagaimanapun, Mahtani menegaskan bahawa mekanisme cukai mesti diletakkan pada standard yang betul iaitu cukai dan kawal selia mesti dilaksanakan dengan berkesan.

"Sekiranya cukai dilaksanakan di Malaysia, perniagaan perlu menyesuaikan perubahan dalam perisian perakaunan mereka, yang akan memudahkan peralihan dalam kalangan perniagaan yang terlibat," katanya.

Lebih 26 negara, dari Portugal hingga ke Arab Saudi, memperkenal cukai soda ini yang mereka sebut sebagai ‘cukai gula’ di negara atau kawasan masing-masing.

Cukai gula pada dasarnya ialah cukai ke atas minuman manis, untuk menaikkan harga minuman ini, untuk mempengaruhi tingkah laku pengguna serta menggalakkan syarikat-syarikat untuk merumuskan semula pengurangan penggunaan gula.

Cukai Keuntungan Modal

Sementara itu, Pengurus Dana, Danny Wong Teck Meng, berkata pelaksanaan cukai sekarang akan menurunkan pulangan pelaburan.

Pada masa pasaran global tidak menentu ketika ini, ia mungkin menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur.

"Bagi cukai, yang penting ialah kadar. Sekiranya ini berlaku, pelabur akan membandingkan apa yang mereka dapat jika mereka melabur di Malaysia berbanding apa yang mereka peroleh jika melabur di negara lain," katanya.

Cukai keuntungan ialah cukai ke atas keuntungan yang direalisasikan ke atas penjualan aset bukan inventori yang lebih besar daripada jumlah yang direalisasikan ke atas jualan.

Keuntungan modal yang paling umum diperoleh daripada penjualan stok, bon, logam berharga, dan hartanah.

Menaikkan cukai rokok, alkohol dan judi

Wong berkata peningkatan cukai ke atas rokok, alkohol dan judi, diterima memandangkan ia bukan cukai pada asas yang meluas.

"Barangan ini dimasukkan dalam cukai rokok, arak dan judi, disebabkan kesan negatifnya ke atas pengguna, terutama aspek kesihatan, dan kenaikannya hanya menjejaskan sebahagian kecil masyarakat," katanya.

Menerusi cukai Jualan dan Perkhidmatan, alkohol dikenakan cukai sebanyak 10 peratus berbanding hanya enam peratus semasa rejim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, katanya kerajaan juga perlu menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan barangan seludup sukar diperoleh dalam pasaran bagi mengelak ketirisan cukai.

Carlsberg dilaporkan berkata bahawa pengambil arak seludup membabitkan 22 hingga 25 peratus dalam negara, dengan sebahagian besarnya berlaku di Sabah dan Sarawak, dan memberi kesan ke atas cukai kerajaan.

Bagi rokok yang diseludup, kerugian hasil oleh kerajaan dianggarkan sebanyak RM4 bilion.

Kesimpulannya, Wong berkata peluasan asas cukai yang memberi kesan ke atas pengguna secara menyeluruh sekarang bukanlah suatu langkah positif memandangkan ia akan menjadi punca utama inflasi harga.

"Memang ada banyak faktor lain yang mempengaruhi harga, dan cukai hanya satu daripada komponennya," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa jika pelaksanaan cukai baharu tidak dilaksanakan dengan betul, dengan pelbagai cukai dilaksanakan satu demi satu, ini akan mewujudkan pelbagai lapisan cukai yang tidak baik kepada pengguna akhir.

"Menerusi GST, kita tahu dengan jelas cukai yang dikenakan dan kadarnya standard enam peratus, atau sifar peratus.

Namun jika semua cukai baharu seperti cukai soda atau cukai digital diperkenalkan, ini akan mewujudkan pelbagai lapisan cukai," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X