Ahad, 7 Oktober 2018 | 10:47pm
ROFIZLAN Ahmad - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Sektor pembinaan catat pertumbuhan stabil

KUALA LUMPUR: Sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan stabil dengan kadar 11.1 peratus sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Ia juga dapat disaksikan menerusi nilai projek pembinaan di Malaysia yang meningkat daripada RM141.8 bilion membabitkan 7,544 projek pada 2015 kepada RM299 bilion dengan 6,855 projek pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDB E-Construct Services, Rofizlan Ahmad, berkata dengan industri pembinaan sebagai komponen utama dalam landskap ekonomi negara, pihaknya mengakui pentingnya mengubah industri ini menjadi industri yang moden, produktif dan mapan.

Rofizlan berkata, ia sejajar dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 yang diperkenalkan.

“CITP menggariskan empat teras strategik untuk mencapai matlamat ini, termasuklah kualiti, keselamatan dan profesionalisme.

“Keselamatan sememangnya amat penting dalam pembinaan, justeru, teras strategik ini bertujuan memupuk budaya industri yang mementingkan keselamatan, selain menjamin kualiti dan profesionalisme dalam sektor pembinaan,” katanya kepada Bisnes NSTP, baru-baru ini.

Katanya, dengan inisiatif yang dijalankan, menjelang 2020, CIDB menyasarkan lebih 50 peratus projek awam mencapai skor Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC), pengurangan kematian dan kecederaan di tapak pembinaan lebih 50 peratus dan meningkatkan kedudukan dalam penunjuk ‘Ease of Doing Business’ oleh Bank Dunia sebanyak lima peratus.

QLASSIC adalah sistem atau kaedah untuk mengukur dan menilai kualiti hasil kerja pembinaan bangunan berasaskan Standard Industri Pembinaan (CIS 7).

Sistem yang diwujudkan pada 2007 itu membolehkan kualiti hasil kerja pembinaan antara projek pembinaan dibandingkan secara objektif melalui sistem pemarkahan.

Penarafan yang baik di bawah QLASSIC membabitkan kerja pembinaan yang mencapai skor 75 dan ke atas.

Menyentuh mengenai penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan, Rofizlan berkata, teknologi memainkan peranan penting dalam mewujudkan industri pembinaan yang lebih selamat, yang mana boleh diamalkan dalam peringkat perancangan seperti penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).

Katanya, selain lebih efektif, reka bentuk yang lebih baik, pemasangan automatik dan kualiti lebih baik, BIM juga mempertingkatkan keselamatan dari peringkat perancangan, kerana sistem pemodelan digitalnya membolehkan simulasi diperiksa dan dianalisa.

“Dengan kaedah ini, kesilapan dan kekurangan boleh dikesan dari mula lagi dan dibetulkan sebelum pembinaan bermula. Teknologi juga boleh digunakan semasa pembinaan, sebagaimana yang dilihat menerusi penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Oleh kerana komponen binaan dihasilkan di kilang-kilang yang mempunyai tahap penjenteraan dan automasi yang tinggi, yang tidak memerlukan ramai pekerja, ini bermakna insiden keselamatan akan dapat dikurangkan atau dielakkan,” katanya.

Mengulas mengenai masa depan industri pembinaan, Rofizlan berkata, tempoh lima tahun akan datang adalah amat kritikal kerana negara akan melalui tempoh terakhir menjelang 2020, yang mana masa depan negara sebagai ekonomi berasaskan pengetahuan dan berpendapatan tinggi.

“Permintaan terhadap pembinaan di Malaysia dijangka akan terus mengalami pertumbuhan selari dengan persekitaran ekonomi yang terus berkembang, dengan anggaran pertumbuhan industri sebanyak 10.3 peratus setahun,” katanya.

INFO

Proses pelaksanaan penilaian QLASSIC

-Pemohonan kepada CIDB

-Skop Penilaian

-Sampel oleh Penilai

-Penilaian di tapak

-Skor QLASSIC (%)

Kategori bangunan yang dinilai menggunakan QLASSIC

- Kategori A (Setingkat)

- Kategori B (Bertingkat)

- Kategori C (Bangunan awam, komersial, industri tanpa sistem pendingin hawa berpusat)

Berita Harian X