X
Khamis, 4 Oktober 2018 | 5:44pm
DR Dzulkefly Ahmad. - Foto BERNAMA
DR Dzulkefly Ahmad. - Foto BERNAMA

Sektor swasta disaran kerjasama bantu tingkatkan kesihatan digital

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan berharap lebih banyak pemain industri dapat meneroka pelaburan dalam membangunkan sektor kesihatan digital dalam negara, sekali gus meningkatkan kecekapan segmen berkenaan.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata industri kesihatan digital menyediakan banyak peluang kepada sektor swasta untuk menjadi rakan kerjasama strategik kepada kementerian dalam membantu menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, antara manfaat yang dapat diperoleh dari usaha oleh pemain industri swasta dalam bidang itu, antaranya membantu pesakit untuk menguruskan penyakit melalui penggunaan peranti, aplikasi dan penyelesaian digital.

"Inovasi digital tempatan dan pengkomersialan produk-produk sedemikian dalam pasaran pengguna adalah sangat kritikal kerana ia turut membantu merangsang peningkatan kesedaran dalam menjaga kesihatan seseorang.

"Apa yang kementerian harapkan, ia boleh membawa kepada perubahan tingkah laku serta gaya hidup yang positif dalam kalangan rakyat di negara ini," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud; Ketua Pengarah MOH, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jaffri Ibrahim.

MoU antara dua pihak itu meliputi penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kesihatan digital, inovasi digital dalam penjagaan kesihatan, aktiviti pembangunan kluster, jaringan industri, pembangunan bakat dan hab inovasi kesihatan digital.

Dzulkefly berkata, CREST turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekosistem penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dalam sektor kesihatan digital.

Katanya, CREST yang juga bekerjasama dengan Telemedicine Development Group (TDG) berupaya dalam menyokong dan saling melengkapi Transformasi Kesihatan Kebangsaan untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, mampu milik dan mudah diakses oleh rakyat.

Dalam pada itu, majlis itu turut menyaksikan usaha sama antara Institut Kerjasama Perubatan (IMR) dan CREST yang mana IMR berjaya menghasilkan dua produk yang dapat membantu pengiraan garam iodin di luar makmal.

CREST yang ditubuhkan sejak 2012 mula menumpukan kepada sektor sedang berkembang seperti kesihatan pada 2015 dengan menjadikan platform pasaran tempatan untuk mewujudkan pelbagai cabang inovasi.

Berita Harian X