Khamis, 4 Oktober 2018 | 4:16pm

CPTPP mampu tingkatkan eksport negara

KUALA LUMPUR: Eksport utama Malaysia dapat dipertingkatkan dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) berbanding ketika ini, kata Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Julia Bentley.

Katanya, dari segi ekonomi terutamanya manfaat kepada syarikat tempatan, kerjasama CPTPP ini dapat memberikan kelebihan dan meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

Julia berkata, melalui perjumpaannya dengan ahli Majlis Perdagangan Malaysia Kanada (MCBC) termasuk beberapa persatuan perdagangan tempatan, mereka melihat kerjasama perjanjian ini dapat memberikan kelebihan terutamanya meningkatkan kapasiti eksport ke negara terbabit dalam CPTPP.

“Kami menyokong sepenuhnya komitmen yang diberikan Malaysia dalam perjanjian CPTPP ini dan merasakan ia adalah langkah terbaik untuk diteruskan.

“Ia akan meningkatkan lagi eksport barangan dari Malaysia ke negara ahli CPTPP seperti produk sawit, getah dan minyak mentah.

“Jika Malaysia mengambil keputusan untuk tidak terus terbabit dalam CPTPP, ia akan merugikan kepada ekonomi dan perniagaan tempatan,” katanya selepas Perbincangan CPTPP anjuran Majlis Perdagangan Malaysia Kanada (MCBC) dan Majlis Perdagangan Malaysia Australia (MABC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagaya; Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Michael Growder; Presiden MCBC, Robert Grant dan Timbalan Pengerusi MABC, Datuk Peter Tan.

Julia berkata, dalam konteks Kanada sendiri, pihaknya menyambut baik penyertaan dalam CPTPP kerana ia dapat meningkatkan lagi perniagaan dan ekonomi negaranya itu.

Beliau berkata, CPTPP dapat membawa masuk barangan bernilai ke pasaran Kanada termasuk peluang perniagaan dari negara terbabit dalam CPTPP ke Kanada.

“Ia memberikan prospek yang bagus ke Kanada dan juga ke negara lain yang terbabit. Akan ada pertukaran perdagangan yang meningkatkan lagi eksport serta kemasukan peluang perdagangan baru,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MABC, Datuk Peter Tan, berkata pelaksanaan CPTPP terutamanya kepada negara ASEAN mampu meningkatkan perniagaan dan ekonomi mereka.

Tan berkata, negara yang sedang membangun bakal dapat manfaat dari negara maju yang terbabit dalam CPTPP, namun perjanjian itu perlu adil dan seimbang kepada semua negara ahli CPTPP.

“Kita tidak boleh bersendirian dalam meningkat ekonomi negara dan seharusnya bersama mengekalkan kemampanan pertumbuhan global.

“Banyak perkara yang dapat diambil dari perjanjian ini seperti pertukaran teknologi, peningkatan eksport barangan dan pertumbuhan ekonomi termasuk peningkatan tenaga kerja mahir.

“Bagaimanapun, MABC masih menunggu keputusan kerajaan dalam menentukan hala tuju Malaysia dalam perjanjian ini,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata kerajaan masih berunding bagi menentukan hala tuju Malaysia dalam CPTPP.

Ini kerana kerajaan baharu merasakan perjanjian ditandatangani kerajaan terdahulu itu banyak merugikan Malaysia dalam usaha membangunkan negara.

Kerajaan juga melalui sekumpulan pakar sedang dalam usaha rundingan bagi memastikan negara memperoleh manfaat sekiranya menyertai CPTPP.

Berita Harian X