Isnin, 1 Oktober 2018 | 7:30pm

Penilaian operasi Lynas harus telus, objektif

KUALA LUMPUR: Kredibiliti menyemak semula operasi Lynas Malaysia, termasuk komposisi pasukan penilai dan terma rujukan adalah kritikal untuk memastikan ia tidak menjejaskan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan terbuka dan stabil, demikian menurut Dewan Perniagaan Malaysia Australia (MABC).

Pengarah Eksekutifnya, Linda Tey, berkata pihaknya prihatin terhadap laporan media baru-baru ini mengenai penilaian semula operasi Lynas Malaysia yang menghasilkan bahan nadir bumi berkualiti tinggi di Kuantan, di bawah syarat pelesenan ketat sejak September 2014.

“Walaupun hak kerajaan untuk menjalankan penilaian semula operasi itu tidak dipersoalkan, namun ia adalah penting untuk menentukan sebarang pelanggaran syarat pelesenan atau tidak menepati standard antarabangsa.

“Bagi mengukuhkan keyakinan pelabur, penilaian terhadap Lynas Malaysia harus telus, objektif, berasaskan bukti dan terbuka kepada umum.

“Syarikat itu harus diberi peluang untuk mempertahankan rekod kawal selia dan alam sekitar secara terbuka sejak mula beroperasi pada 2012,” katanya.

Tey berkata, MABC bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha menyokong perdagangan dan hubungan pelaburan yang kukuh antara dua negara berkenaan.

Beliau berkata, MABC mewakili kepentingan perniagaan Australia di Malaysia yang bertujuan untuk mempromosi hubungan pelaburan dan perdagangan antara dua negara berkenaan.

Perniagaan Australia sudah melabur hampir RM30 bilion di Malaysia setakat 2017 merangkumi pelbagai sektor ekonomi produktif termasuk pembuatan, perkhidmatan, pertanian, sumber dan ekonomi digital.

“Pelaburan itu mewujudkan ribuan peluang pekerjaan di Malaysia dan membantu meningkatkan pembangunan ekonomi Malaysia, harta intelek dan asas kemahiran,” katanya.

Berita Harian X