Selasa, 18 September 2018 | 7:51pm

Jualan kenderaan Ogos meningkat

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan Malaysia meningkat 26.8 peratus kepada 65,551 unit pada Ogos 2018 daripada 51,716 unit dalam bulan yang sama tahun lalu.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan hari ini berkata jualan kenderaan tinggi itu adalah disebabkan penurunan harga susulan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar.

Daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang dijual itu, 55,772 unit adalah kenderaan penumpang, manakala baki selebihnya kenderaan perdagangan.

Persatuan itu berkata pengeluaran meningkat kepada 47,387 unit kenderaan pada Ogos 2018 daripada 43,688 unit dalam bulan yang sama tahun lalu.

Sementara itu, MAA menjangka kuantiti jualan yang rendah pada September tahun ini berbanding Ogos kerana banyak pembelian telah dibuat sebelum berakhirnya tempoh pengecualian cukai GST.

-BERNAMA

Berita Harian X