Jumaat, 7 September 2018 | 6:06pm
DARELL Leiking.
DARELL Leiking.

MITI tarik pelabur Thailand

BANGKOK: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjalin hubungan rapat dengan tokoh perniagaan terkemuka Thailand bagi menarik mereka untuk menambah pelaburan di Malaysia.

Menterinya Darell Leiking berkata kerajaan baharu Malaysia adalah pro-perniagaan, dan menyambut baik pelaburan asing yang saling menguntungkan.

"Kami (Malaysia) perlu menyusun semula strategi yang terjalin bersama Thailand. Kami mahu membawa pemimpin industri melihat Malaysia (sebagai destinasi pelaburan),” katanya kepada Bernama dalam temu bual.

Beliau tiba di Bangkok semalam untuk memulakan lawatan kerja tiga hari, yang antara lain bertemu ketua-ketua industri di sini.

Thailand ialah rakan dagang kelima terbesar Malaysia di dunia dan kedua terbesar di ASEAN.

Dagangan dua hala meningkat 25 peratus sejak sedekad lepas, daripada AS$18.31 bilion pada 2008 kepada AS$22.97 bilion tahun lalu, mewakili 5.6 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

Atur cara padat Darell di Bangkok termasuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Perdagangan Thailand, Sontirat Sontijirawong, di pejabatnya

Beliau juga dijadual menghadiri makan malam bersama Pengerusi Kumpulan Choraen Corporation (TCC) Thailand, Tan Sri Charoen Sirivadhanabakdi dengan kedua-dua pihak dijangka membincangkan potensi pelaburan oleh konglomerat itu di Malaysia.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai potensi pelaburan baharu TCC di Malaysia sehingga ia disahkan, namun berkata kerajaan memberi tumpuan kepada pelaburan yang boleh dipercayai dan tulen.

Charoen adalah individu paling kaya di Thailand, manakala TCC ialah antara konglomerat terbesar di Thailand. Empayar perniagaannya merangkumi pelbagai negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Darell juga akan bertemu anggota Persekutuan Industri Thai dan pengasas AAPICO Yeap Swee Chuan, serta berdialog bersama anggota Dewan Perdagangan Malaysia-Thailand (MTCC) dan rakyat Malaysia yang tinggal di Thailand.

Beliau berkata MITI juga akan bertemu pemimpin industri dan perniagaan Thai yang boleh membuat perubahan kepada Thailand dan Malaysia.

"Kami mahu memilih tokoh yang sesuai untuk bekerja, dan kami gembira Tan Sri Charoen menyambut baik kami," katanya sambil menambah bahawa kerajaan telah berusaha keras untuk memulihkan era kegemilangan Malaysia apabila ia dinilai sebagai ‘Harimau Asia’.

-BERNAMA

Berita Harian X