Rabu, 5 September 2018 | 1:50pm

Projek Forest City berhadapan masalah

KUALA LUMPUR: Projek mega, Forest City di Johor yang bernilai AS$100 bilion (RM413.77 bilion) kini berhadapan masalah apabila ia dilihat menjadi sasaran penilaian semula oleh kerajaan sebagaimana projek mega lain berkaitan China.

Forest City adalah projek futuristik mewah yang dibina di atas empat pulau buatan yang terletak hanya sejam dari Singapura.

Ia berpotensi menempatkan sehingga 700,000 penduduk apabila siap sepenuhnya pada 2035. Forest City dibangunkan oleh gergasi pelaburan hartanah Hong Kong, Country Garden dan firma yang sebahagiannya dimiliki oleh seorang Sultan di negara ini.

Projek berkenaan yang dilancarkan di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyasar pelabur China kerana ia boleh menjadi alternatif kepada hartanah yang semakin mahal di Singapura.

Menurut laporan terdahulu, pembeli China sudah membeli dua pertiga daripada unit yang ditawarkan walaupun pembinaan projek berkenaan belum siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, pembangunan yang merangkumi sekolah antarabangsa, pusat beli-belah, hotel dan juga pusat imigresen itu berhadapan masalah sejak awal pelancarannya lagi.

Langkah sekatan aliran keluar modal dari China telah menjejaskan permintaan hartanah berkenaan. Pada masa sama, ia juga menjadi punca keresahan rakyat Malaysia berikutan pengaruh China yang semakin berkembang di bawah pemerintahan Najib.

Selain itu, golongan pencinta alam turut memberi amaran bahawa pasir yang dibuang untuk mendapatkan tanah bagi projek berkenaan boleh memusnahkan hidupan laut.

Kini, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menyelar tindakan warga asing membeli unit apartmen di projek berkenaan dan langkah itu boleh mencetuskan ancaman kepada kemelut yang berlaku.

Dengan kekalahan mengejut Najib pada pilihan raya lalu, spekulasi bahawa Forest City akan menjadi satu lagi projek ‘gajah putih’ semakin meningkat.

Mahathir membatalkan beberapa projek yang dibiayai China bernilai AS$22 bilion (RM91.03 bilion) yang dimeterai oleh kerajaan sebelum ini semasa lawatannya ke Beijing bulan lalu susulan kritikan bahawa perjanjian berkenaan adalah tidak adil kepada Malaysia.

Minggu lalu, Mahathir membuat komen tegas mengenai pembangunan berkenaan dan mengatakan beliau menentangnya kerana ia dibina untuk warga asing, bukannya untuk rakyat Malaysia.

“Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu untuk membeli unit kediaman di bawah projek itu,” katanya.

Tambahnya lagi, Forest City tidak boleh dijual kepada warga asing.

“Kami tidak akan memberikan visa kepada rakyat lain untuk datang dan menetap di sini,” katanya.

Kerajaan kemudiannya mengumumkan untuk menubuhkan jawatankuasa bagi menyemak semula syarat yang telah dipersetujui untuk menyediakan pembangunan dan pemilikan asing di Forest City.

Bagaimanapun, langkah itu telah menimbulkan pendapat bahawa pihak berkuasa mungkin cuba untuk menghentikan projek berkenaan. Sehingga kini, cadangan dari jawatankuasa berkenaan masih belum jelas.

Penganalisis berkata, senario terburuk yang boleh berlaku dalam jangka pendek adalah kerajaan negeri di Johor mungkin menaikkan harga minimum bagi warga asing yang ingin membeli hartanah di situ atau meningkatkan cukai. - AFP

Berita Harian X