Selasa, 14 Ogos 2018 | 8:02pm

Fitch kekalkan penarafan A- Malaysia

KUALA LUMPUR: Fitch Ratings mengesahkan penarafan kemungkiran penerbit (IDR) mata wang asing jangka panjang Malaysia pada A- dengan tinjauan stabil.

Ia disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan kedudukan pemiutang luar bersih dibina daripada rekod lebihan akaun semasa.

Agensi penarafan itu berkata, pengesahan itu bukan hanya mengambil kira langkah-langkah seperti pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), malah menjelaskan hasrat kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal dan meningkatkan tadbir urus.

“Agensi itu meningkatkan anggaran hutang kerajaan pusat pada akhir 2017 kepada kira-kira 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), daripada 50.8 peratus, susulan pengakuan kerajaan bahawa ia perlu membayar sejumlah besar hutang yang dijamin,” katanya dalam satu kenyaaan, hari ini.

Anggaran itu, bagaimanapun, akan terus disemak semula apabila lebih banyak butiran disediakan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang memenangi pilihan raya umum Mei lalu, telah melaksanakan beberapa janjinya, khususnya memansuhkan GST.

Ia juga meneruskan subsidi bahan api, walaupun dilaksanakan secara lebih bersasar.

“Fitch melihat langkah-langkah ini sebagai negatif untuk profil kredit. Namun, kerajaan menyasarkan untuk melaksanakan langkah-langkah penyeimbangan fiskal dan memberikan petunjuk hasratnya untuk membendung defisit kerajaan pusat,” katanya.

Berita Harian X