Selasa, 14 Ogos 2018 | 4:09pm
TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berucap pada majlis perasmian “Forum Statistic, Indices in Construction and Automation (SICA) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

Manfaat teknologi terkini industri binaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya menggesa peserta industri pembinaan menggunakan teknologi terkini seperti analisis data raya bagi meneruskan kemampanan prestasi dan produktiviti serta menyumbang kepada ekonomi negara.

Timbalan Menterinya, Mohd Anuar Mohd Tahir, berkata peningkatan tahap produktiviti industri pembinaan adalah keutamaan kerajaan, sejajar dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020.

Mohd Anuar berkata, kaedah dan amalan digital, integrasi dan automasi adalah fokus utama di bawah teras strategi produktiviti CITP yang bertujuan menggandakan tahap produktiviti sektor pembinaan dengan menyesuaikan gaji yang lebih tinggi menjelang 2020.

Katanya, industri pembinaan memerlukan perubahan besar dalam meningkatkan tahap produktiviti dan berdasarkan Laporan Produktiviti terkini yang dihasilkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada 2017, industri pembinaan mencatatkan tahap produktiviti terendah iaitu RM40,242 setiap pekerja.

“Ia jauh berbeza berbanding sektor pertanian pada RM51,988, sektor perkhidmatan pada RM73,030, manakala perlombongan kekal sebagai sektor dengan tahap produktiviti tertinggi pada RM1,210,832.

“Sektor pembinaan adalah komponen utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, secara konsisten merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi dari tahun ke tahun berbanding dengan KDNK negara sejak 2012, melebihi prestasi sektor ekonomi yang lain.

“Jadi sebagai komponen utama ekonomi negara, industri ini perlu berdaya tahan terhadap cabaran mendatang, khususnya ketika menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Oleh itu, pihak berkepentingan industri perlu mengguna pakai teknologi dan proses moden, seperti analisis data raya, untuk memastikan kemampanan berterusan sektor pembinaan,” katanya selepas merasmikan “Forum Statistic, Indices in Construction and Automation (SICA) di sini, hari ini.

Mohd Anuar berkata, analisis data raya sudah terbukti keberkesanannya dalam industri lain dan tidak ada alasan untuk industri pembinaan tidak mengguna pakai kaedah yang sama.

Beliau berkata, jika negara mahu berdaya maju dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0, adalah penting untuk menerima pakai pendigitalan dan teknologi dalam peralihan daripada menjadi industri yang berdaya maju.

Berita Harian X