Jumaat, 27 Julai 2018 | 7:53pm

Langkah kurang kos sara hidup mula berhasil - RAM

KUALA LUMPUR: RAM Ratings menyemak semula unjuran sektor peruncitan daripada negatif kepada stabil susulan sentimen pengguna yang lebih baik berikutan langkah kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup.

Agensi penarafan itu berkata, sentimen pengguna meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14, dengan indeks sentimen pengguna (CSI) - pengukur keyakinan pengguna - meningkat kepada 132.9 mata pada suku kedua 2018.

Sebelum ini, indeks itu menurun di bawah 100 mata selama 15 suku berturut-turut sejak suku ketiga 2014.

CSI mencecah 63.8 mata pada suku kedua 2015 berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015.

Ketua Penilaian Perindustrian dan Pelanggan RAM, Kevin Lim, berkata penarafan sifar GST berkuatkuasa 1 Jun 2018 menggalakkan perbelanjaan pengguna dan menyokong jualan yang lebih kukuh untuk peruncit, terutamanya dalam tempoh percubaan selama tiga bulan sehingga Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan semula pada September.

Ia juga disokong oleh Kumpulan Peruncit Malaysia, yang turut mengunjurkan peningkatan 5.3 peratus dalam jualan runcit pada 2018 daripada anggaran sebelum ini iaitu 4.7 peratus.

Agensi penarafan itu berkata, langkah sifar GST mampu meningkatkan margin operasi perniagaan yang sebelum ini terpaksa ditanggung dan diserap dalam operasi oleh syarikat pelaksana.

"Perbelanjaan pengguna dan jualan runcit dijangka kembali normal selepas beberapa hari pelaksanaan semula SST," katanya.

Bagaimanapun, ia menyatakan bahawa beban cukai keseluruhan pengguna akan jauh lebih ringan dengan kutipan cukai kerajaan dianggarkan bernilai RM21 bilion setahun, iaitu kurang daripada separuh jumlah kutipan GST.

Secara keseluruhan, RAM Ratings berkata, industri peruncitan dijangka kekal berdaya saing dengan peningkatan terhadap segmen e-dagang yang semakin berkembang, memberi saingan kepada peruncit tradisional.

Berita Harian X