Rabu, 18 Julai 2018 | 12:19pm
FOTO hiasan. - Foto BERNAMA
FOTO hiasan. - Foto BERNAMA

SST tingkatkan pendapatan boleh guna rakyat

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September dilihat meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat berbanding ketika penggunaan regim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini, kata penganalisis.

Ketua Ekonomi AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata kuasa berbelanja pengguna bertambah sekiranya SST tidak dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dass menjelaskan, terdapat kemungkinan beban cukai secara keseluruhannya akan menjadi lebih rendah berbanding dengan tempoh pelaksanaan GST sebelum ini.

"Kesan (pelaksanaan) SST sebenarnya adalah bercampur-campur kerana ia bergantung kepada sasaran cukai dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan.

"Justeru, produk dan perkhidmatan yang berbeza akan menerima kesan yang berbeza dan ia mencadangkan bahawa isi rumah mungkin perlu membayar margin yang lebih tinggi bagi beberapa produk dan perkhidmatan atau harga yang sama bagi beberapa barangan lain," katanya dalam laporan penyelidikannya di sini, hari ini.

Pengenalan semula cukai jualan antara lima hingga 10 peratus ke atas pengeluar terpilih dan produk import serta enam peratus cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan terpilih telah menimbulkan persoalan sama ada langkah itu akan menaikkan harga barangan atau tidak.

Mengulas lanjut, beliau berkata di bawah GST, semua produk dan perkhidmatan dikenakan cukai sebanyak enam peratus.

"Ia mengundang kritikan daripada orang ramai kerana dikatakan telah menyebabkan harga barangan secara keseluruhan meningkan sekaligus menjejaskan kos hidup di negara ini.

"Selain itu, perniagaan juga berhadapan dengan kesulitan berikutan bayaran semula boleh ditolak dengan kelayakan minimum jualan tahunan sebanyak RM500,000 sebelum mereka boleh membuat tuntutan semula," katanya.

Berita Harian X