Ahad, 15 Julai 2018 | 4:55pm

Masalah kos sara hidup perlu komitmen semua pihak

KUALA LUMPUR: Keberkesanan dasar kerajaan, kepentingan menyokong tenaga kerja bagi meningkatkan produktiviti, rasuah dan ketirisan selain pemikiran inovatif adalah antara aspek yang harus diambil kira dengan serius bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup hari ini.

Ketua Amalan Global Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Asia Tenggara dan Pasifik Bank Dunia, Dr Ndiame Diop, berkata pengagihan cukai kerajaan yang disalurkan kepada sasaran dengan betul terbukti dapat membantu mengurangkan jurang kaya dan miskin dalam masyarakat, namun realitinya ia berjaya di beberapa negara tetapi gagal di negara lain.

Beliau berkata, kajian Bank Dunia mendapati langkah itu berjaya di negara maju seperti Switzerland, Sweden, Jepun, Sepanyol dan Amerika Syarikat (AS), tetapi kurang berjaya di ekonomi negara membangun seperti Peru, Bolivia, Uruguay, Brazil dan Mexico.

"Cukai progresif boleh menjadi sangat berkesan dalam mengurangkan jurang kaya-miskin dalam masyarakat, namun ia juga memberikan kesan minimum di sesetengah negara, disebabkan pelaksanaan dasar kerajaan yang tidak berkesan," katanya pada forum Ekonomi Rakyat Series anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) di sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada forum itu ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Pada forum itu, Diop membuat pembentangan bertajuk Menangani Peningkatan Kos Sara Hidup: Pengajaran Daripada Pengalaman Antarabangsa yang turut mendedahkan pertumbuhan produktiviti pekerja adalah penting dalam usaha mengurangkan jurang miskin-kaya.

Belau berkata, pertumbuhan produktiviti kukuh membantu syarikat lebih kompetitif, sekali gus membolehkan gaji pekerja dinaikkan syarikat.

"Namun pelaburan modal dan peralatan setiap pekerja perlu untuk mengembangkan produktiviti. Ini terbukti di Singapura, Korea Selatan dan China," katanya.

Berhubung gaji minimum, beliau berkata ia pengalaman antarabangsa adalah berbeza- beza dan rumit secara politiknya.

Diop berkata, formula peningkatan gaji minimum terbaik ialah berasaskan kos sara hidup dan produktiviti serta pertumbuhan yang berbeza bagi sesebuah negara itu.

Berita Harian X