Isnin, 2 Julai 2018 | 3:27pm
Soh Thian Lai. - Foto Saddam Yusoff
Soh Thian Lai. - Foto Saddam Yusoff

FMM jangka kos jualan barangan meningkat

PETALING JAYA: Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menjangkakan kos bagi jualan barangan akan meningkat antara satu hingga dua peratus susulan surcaj tambahan 1.35 sen/kWh bermula 1 Julai lalu.

Presiden FMM, Datuk Soh Thian Lai, berkata pengenaan surcaj tarif itu akan memberi kesan terhadap pendapatan industri pembuatan dan pihaknya menyarankan kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaannya.

"Kerajaan harus mengambil kira semua aspek berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Ini adalah masa yang tidak sesuai untuk menaikkan tarif elektrik.

"Langkah ini akan memberi impak negatif terhadap sektor pembuatan dan kami menggesa kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaannya sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun, katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) FMM bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Thian Lai berkata, kerajaan harus lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan yang dijangka memberi kesan terhadap industri pembuatan kerana aktiviti eksport turut menyumbang kepada pendapatan negara.

"Industri pembuatan kini sudah pun terbeban berikutan kemerosotan ringgit. Malah, kos operasi turut meningkat setiap tahun.

"Kira-kira 70 hingga 80 peratus bahan mentah diimport, jika mata wang negara menyusut ke paras RM4 (berbanding dolar AS) ia juga menjejaskan industri. Kami turut industri ini mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan untuk separuh tahun kedua 2018," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, FMM bercadang untuk mengadakan pertemuan bersama kerajaan bagi membincangkan isu yang dihadapi industri pembuatan.

"Buat masa ini kami faham kerajaan baharu memerlukan masa untuk menstabilkan keadaan bagi menguruskan negara.

"Pada masa akan datang, kami ingin mengadakan pertemuan dengan kerajaan supaya mereka lebih prihatin terhadap masalah dalam industri pembuatan serta mendengar penyelesaian yang bakal kami tawarkan," katanya.

Berita Harian X