Isnin, 25 Jun 2018 | 3:17pm

UTeM dan XinYi Glass bekerjasama kaji teknologi solar

MELAKA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan XinYi Glass Co. Ltd. sedang merangka kerjasama bagi menjalankan penyelidikan dalam membangunkan teknologi solar di negara ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr Shahrin Sahib, berkata syarikat dari China itu merancang mengadakan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama pihak UTeM bagi mengembangkan bidang penyelidikan itu selain bekerjasama menerusi pelbagai perancangan yang telah diaturkan.

UTeM dan XinYi Glass Co. Ltd. dijangka menandatangani MoA itu selewat-lewatnya hujung tahun ini, malah kerjasama itu dijangka membuka pelbagai peluang yang bakal menguntungkan kepada kedua-dua belah pihak.

"Pelajar UTeM turut menerima manfaat menerusi kerjasama tersebut kerana XinYi Glass Co. Ltd. turut menawarkan peluang kerjaya kepada mereka sejurus tamat pengajian di UTeM," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Kerjasama itu merupakan antara perkara yang dibincangkan semasa kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif XinYi Glass Co. Ltd. Tan Sri Datuk Tung Ching Sai ke universiti berkenaan pada 31 Mei lepas. - BERNAMA

Berita Harian X