Isnin, 4 Jun 2018 | 3:23pm

Syarikat penerbangan dijangka kekal keuntungan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan syarikat penerbangan merekodkan keuntungan bersih terkumpul AS$33.8 bilion tahun ini walaupun kos bahan api dan tenaga kerja semakin meningkat, di samping peningkatan dalam kitaran kadar faedah.

Dalam satu kenyataan, persatuan itu berkata kos yang semakin meningkat menjadi sebab utama semakan semula menurun dibuat daripada unjuran keuntungan bersih sebelum ini AS$38.4 bilion pada Disember 2017.

Syarikat penerbangan sebelum ini dijangka mencatatkan keuntungan AS$38 bilion secara terkumpul pada 2017 namun perbandingan berkenaan berat sebelah kerana terdapat perkara perakaunan khusus seperti kredit cukai sekali yang meningkatkan keuntungan secara serta-merta pada 2017, menurut IATA.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata keberuntungan yang kukuh terus meningkat pada 2018, walaupun kos semakin bertambah.

"Asas kewangan industri adalah kukuh dengan sembilan tahun mencatatkan keuntungan sejak 2010 dan pulangan ke atas modal yang dilaburkan akan melebihi kos modal bagi tahun keempat berturut-turut," katanya.

Beliau berkata, mencatatkan keuntungan adalah kelaziman bagi syarikat penerbangan untuk membolehkan mereka membiayai pertumbuhan, meningkatkan pengambilan tenaga kerja, memperkukuhkan lembaran imbangan serta memberi ganjaran kepada pelabur.

Keuntungan pada peringkat operasi - walaupun masih tinggi berdasarkan piawaian sebelum ini - menunjukkan aliran semakin menurun sejak awal 2016 disebabkan pencepatan kos.

IATA mengunjurkan keseluruhan kos unit meningkat secara ketara pada 5.2 peratus tahun ini, berbanding 1.2 peratus kenaikan pada 2017.

Sementara itu, perjalanan penumpang udara diunjurkan meningkat 7.0 peratus pada 2018 - lebih rendah daripada peningkatan 8.1 peratus pada 2017, namun masih pantas berbanding purata 20 tahun pada​​​​​​​ 5.5 peratus, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi kukuh serta rangsangan daripada perkhidmatan langsung​​​​​​​ destinasi baharu.

Kapasiti diunjurkan berkembang 6.7 peratus dan faktor bebanan penumpang dianggarkan pada 81.7 peratus, lebih tinggi daripada 81.5 peratus yang direkodkan tahun lalu.

"Jumlah penumpang keseluruhan dijangka meningkat 6.5 peratus kepada 4.36 bilion dan hasil penjumpang diunjurkan meningkat 3.2 peratus pada 2018, tahun pertama pengukuhan hasil sejak 2011 - dipacu oleh kenaikan kos unit 5.2 peratus," menurut IATA.

-BERNAMA

Berita Harian X