Jumaat, 1 Jun 2018 | 2:53pm
SUASANA kedai Habib Jewel pada 1 Jun setelah GST Sifar dilaksanakan oleh kerajaan. - Foto Hafiz Sohaimi

Habib Jewels minta barang kemas tidak dikenakan SST

KUALA LUMPUR: Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels) berharap kerajaan tidak akan mengenakan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap industri barang kemas sebagaimana yang diamalkan sebelum Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada 1 April 2015.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Meer Habib berkata impak pelaksanaan SST ke atas perniagaan barang kemas mungkin akan memberi kesan yang tidak baik.

"Sebagaimana yang dapat kami lihat, data daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menunjukkan eksport barang kemas merosot sebanyak 20 peratus dari tahun 2015 hingga 2016 selepas pelaksanaan GST.

"Malaysia adalah antara destinasi terbaik untuk membeli barang kemas atas faktor kualiti dan hasil krafnya. Selain rakyat tempatan, ramai pelancong dari Singapura, China dan negara lain yang datang ke sini untuk membeli barang kemas.


PENGARAH Urusan Kumpulan Habib Jewel, Datuk Seri Meer Habib (tiga dari kiri) bersama pelanggan selepas sidang media kesan GST kepada industri barang kemas di Habib Jewel, Ampang. - Foto Hafiz Sohaimi

"Justeru, kami mengharapkan SST tidak dikenakan ke atas barang kemas kerana ia juga adalah satu bentuk pelaburan kepada rakyat di samping boleh menggalakkan pembelian barang kemas," katanya pada sidang media di cawangan Habib Jewels di Ampang, hari ini.

Harga jualan emas Habib Jewels sebelum GST ditetapkan pada kadar sifar adalah RM205 segram dan bermula hari ini, ia turun kepada RM193 segram.

Mengulas lanjut, Meer berkata pihaknya juga menyasar peningkatan jualan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh tiga bulan sebelum SST dilaksanakan.

"Selain daripada faktor sambutan hari raya Aidilfitri yang bakal berlangsung dalam tempoh dua minggu lagi, ketiadaan GST dan SST dalam tempoh tiga bulan ini membuatkan orang ramai menggunakan kesempatan yang ada untuk membeli barang kemas pada kadar yang lebih murah.

"Malah, perbezaan antara jualan dan belian semula barang kemas juga semakin kurang. Oleh itu, pelanggan yang mahu menjual barang kemas yang lama boleh mendapat harga yang lebih tinggi pada masa ini," katanya.

Meer berkata, pihaknya juga menjangka permintaan untuk emas semakin tinggi untuk tahun ini.

"Saya berpendapat harga emas boleh meningkat lagi. Apa yang penting, kami perlu memantau impak nilai ringgit ke atas emas. Jika nilai ringgit semakin kukuh, harga emas akan turun," katanya.

Dalam majlis yang sama, Meer turut mengumumkan bahawa Habib Jewels juga mengadakan promosi khas selama tiga hari bermula 1 Jun hingga 3 Jun ini yang mana cawangan terpilih menawarkan pelbagai promosi bagi koleksi Hari Raya.

Bermula esok, cawangan perdana di Ampang Point akan dibuka sehingga tengah malam sempena dengan acara Singgah Sahur Habib Jewels.

Berita Harian X