Jumaat, 18 Mei 2018 | 7:02pm

Perkenal kadar sifar GST langkah bijak - EY

KUALA LUMPUR: Ernst & Young Malaysia (EY), menyatakan langkah kerajaan yang memperkenalkan kadar sifar bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 Jun ini sebagai langkah bijak, kerana ia membolehkan peralihan yang lebih teratur daripada GST kepada SST.

Firma perunding cukai itu berkata, langkah itu membolehkan kerajaan memperoleh pandangan umum di samping memperkenalkan semula SST.

"Diharapkan usaha memperkenalkan SST akan dilaksanakan dengan mengambil kira operasi perniagaan, sumber dan kos yang berkaitan dengan perubahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas sama ada terdapat perubahan cukai, EY menjangkakan akan berlakunya perubahan dari semasa ke semasa.

Menurut kenyataan itu, Ey menjangkakan kajian semula yang lebih komprehensif terhadap dasar dan rangka kerja pencukaian, sementara kerajaan mempertimbangkan bagaimana ia boleh dilaksana dan membiayai pelan sosial dan pembangunan, di samping mengekalkan daya saing cukai.

Katanya, cukai baharu juga akan dipertimbangkan.

Sementara itu, Rakan Pengurusan Cukai ASEAN, Yeo Eng Ping, berkata syarikat itu menjangkakan penambahbaikan insentif cukai untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia sekali gus menjadikan negara ini sebagai destinasi tarikan pelaburan dan merangsang transformasi menjadi ekonomi baharu.

Dalam pada itu, EY turut menjangkakan akan wujudnya fokus untuk membantu sektor tertentu seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya ia juga sebagai penilaian audit dan penguatkuasaan cukai, bagi memastikan pendekatan itu mendorong kepada pematuhan bersama, yang mana penguatkuasaan dilaksanakan dengan langkah yang munasabah.

"Peralihan daripada GST kepada SST, memerlukan pengurusan yang berhati-hati.

"Syarikat perlu melaksanakan fokus dan sumber yang mencukupi untuk memastikan peralihan yang lancar, sekali gus elak daripada masalah dan merebut peluang baharu," katanya.

Berita Harian X