Ahad, 13 Mei 2018 | 10:04pm
KETUA Program eUsahawan, Bakat dan Keusahawanan Digital MDEC, Sharifah Nur Izma Syed Izadin. - Foto Mahzir Mat Isa

E-Usahawan rekod 156,000 peserta

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi program eUsahawan komited melahirkan lebih ramai usahawan digital dengan melatih 120,000 lagi peserta tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 276,000.

Ketua Program eUsahawan, Bakat dan Keusahawanan Digital MDEC, Sharifah Nur Izma Syed Izadin, berkata pihaknya mempunyai lebih 700 tenaga pengajar, pelatih komuniti dan pensyarah di seluruh negara.

Katanya, modul pembelajaran dimiliki sepenuhnya oleh MDEC dan terdapat pasukan khas yang akan menambah baik modul (kokurikulum) setiap enam bulan.

"MDEC komited melahirkan usahawan digital yang bertaraf antarabangsa dan program eUsahawan ini adalah percuma yang mana kita akan bantu serta mengajar mereka menjana jualan.

"Kami juga akan mengenal pasti usahawan yang berpotensi tinggi untuk dibawa ke peringkat seterusnya iaitu Level Up (program selama enam bulan)," katanya kepada Bisnes NSTP di sini, baru-baru ini.

Sejak eUsahawan diperkenalkan pada 2016 bagi pencarian usahawan digital, ia mula menunjukkan momentum dan pertumbuhan positif.

Menurut Sharifah Nur Izma, sebelum ini program eUsahawan hanya menggunakan pemasaran sosial media dan sekarang pihaknya telah mempelbagaikan modul pembelajaran termasuk e-dagang.

"Kita telah menambah baik modul yang boleh merentas sempadan untuk syarikat besar yang sedia menembusi pasaran eksport.

"Tahun ini kita akan kenal pasti 10,000 produk daripada 1,500 usahawan untuk memasarkannya dalam e-dagang melalui program Barangan Luar Biasa Eksklusif eUsahawan (Blee)," katanya.

Beliau berkata, MDEC sudah melatih 156,000 peserta di bawah eUsahawan dengan jualan terkumpul melebihi RM227 juta. Peserta adalah dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak dengan 60 peratus ialah peserta wanita antara berumur 28 hingga 45 tahun.

Berita Harian X