Khamis, 3 Mei 2018 | 9:47pm

1MDB pindah pemilikan tanah kepada Menteri Kewangan Diperbadankan

BALIK PULAU: 1Malaysia Development Bhd (1MDB), syarikat pembangunan strategik kerajaan telah memindahkan pemilikan semua tanahnya, termasuk plot tanah di Air Itam di sini kepada Menteri Kewangan Diperbadankan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy, berkata di bawah pelan rasionalisasi itu, semua tanah kini berada di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan, atas cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau berkata, PAC mencadangkan pindahan pemilikan aset yang dimiliki 1MDB kepada syarikat-syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, sebagai contoh, Tun Razak Exchange (TRX).

"Ini akan membolehkan ia dibangunkan tanpa dibelenggu oleh tanggapan negatif terhadap 1MDB," katanya selepas sesi penjelasan mengenai 1MDB, di sini, hari ini.

Pemilikan tanah yang telah dipindahkan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan terdiri daripada plot tanah di Air Itam, Pulau Indah, Bandar Malaysia dan TRX, dengan pembangunannya akan diputuskan oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Sebelum ini, tanah di Air Itam seluas 9.5 hektar itu telah diperuntukkan bagi projek perumahan mampu milik terdiri daripada 9,999 unit kediaman yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Arul Kanda berkata, Menteri Kewangan Diperbadankan memiliki 100 peratus tanah di TRX, manakala menara yang sedang dibangunkan telah dipajakkan.

Beliau yang menegaskan bahawa Kementerian Kewangan tidak pernah menyelamatkan 1MDB berkata: "Kami akui bahawa 1MDB telah membuat keputusan perniagaan yang merugikan dan kami akur dengan semua tuntutan yang dibuat oleh PAC seperti menukar pengurusannya."

Sementara itu, Arul Kanda melahirkan kekecewaan dengan ketidakhadiran pihak pembangkang semasa sesi ceramah umumnya bagi menjelaskan isu berkaitan dengan 1MDB.

Beliau berkata, tidak ada seorang pun daripada wakil pembangkang yang datang menghadiri kempen penjelasan beliau yang bermula di Subang Jaya, diikuti di Shah Alam dan Sungai Siput (semalam) walaupun mereka telah dijemput. - BERNAMA

Berita Harian X