Rabu, 2 Mei 2018 | 11:01am
DATUK Seri Azmi Abdul Aziz.
DATUK Seri Azmi Abdul Aziz.

Azmi dilantik CEO PDP projek HSR

KUALA LUMPUR: Rakan pelaksana projek (PDP) Rel Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR), YTL THP JV Sdn Bhd (YTL-THP) melantik Datuk Seri Azmi Abdul Aziz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Azmi, yang sebelum ini adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd selama tiga tahun dari 2015 hingga 2017, membawa bersama pengalaman selama 33 tahun sektor awam dan swasta dalam industri pengangkutan.

Konsortium YTL-THP menerima Surat Hasrat daripada MyHSR Corporation Sdn Bhd untuk bertindak sebagai PDP projek KL-SG HSR bagi bahagian selatan.

"Kami amat gembira menerima Azmi untuk menerajui pasukan YTL-THP dalam tempoh yang begitu menarik ini. Pengalaman luasnya dalam industri pengangkutan, khususnya dalam mentransformasi infrastruktur pengangkutan awam di Malaysia menambah nilai kepada pasukan pengurusan YTL-THP.

"Pastinya, beliau sudah pun mempunyai peranan dalam peringkat perancangan projek KL-SG HSR semasa khidmatnya di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), justeru adalah begitu memuaskan bagi beliau untuk turut memantau proses pembinaan sebenar," kata Pengarah YTL THP JV, Datuk Yeoh Seok Hong.

Sebelum menyertai YTL-THP, Azmi adalah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PBLT Sdn Bhd, sebuah syarikat dimiliki oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan, mengkhususkan dalam kemudahan infrastruktur awam dan swasta.

Sebelum itu, beliau membawa Prasarana ke tahap lebih tinggi dengan mentransformasi peranan utamanya sebagai penyedia pengangkutan awam bersepadu bagi perkhidmatan bas serta rel antara bandar.

Sementara itu, semasa perkhidmatannya sebagai Ketua Pegawai Pembangunan SPAD, Azmi menyumbang kepada pembentukan Pelan Induk Pengangkutan Darat negara, memaju serta menibukan Dasar Pengangkutan seperti Rancangan Pembangunan Rel Bandar.

Beliau juga merancang dan memantau KVMRT Jajaran 1 dan KVMRT Jajaran 2, selain turut menyumbang kepada perancangan projek KL-SG HSR.

Azmi juga berkhidmat dalam beberapa jawatan pengurusan kanan di Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn Bhd (PUTRA LRT), Rapid KL Sdn Bhd and SCOMI Engineering Bhd serta Pengarah Projek bagi projek monorel pertama India di Mumbai.

Berita Harian X