Selasa, 1 Mei 2018 | 10:51am
KETUA Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak. - Foto Khairul Azhar Ahmad
KETUA Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak. - Foto Khairul Azhar Ahmad

MRL beri jaminan tambang ECRL kompetitif

KUALA LUMPUR: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pengendali dan pemilik Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memberi jaminan tambang yang dikenakan kepada pengguna perkhidmatan itu adalah kompetitif dan 'mampu dibayar'.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata tambang ECRL akan dikawal selia dengan ketat dan akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Kami ada mendengar terdapat pihak yang mengatakan tambangnya akan mencecah sehingga RM1,000, namun mustahil ia berlaku sedemikian. Kami juga tidak boleh mengenakan caj penumpang lebih tinggi daripada harga kapal terbang kerana tiada siapa yang akan menggunakannya jika harganya begitu.

"Tambang (ECRL) perlu kompetitif dan tambang yang sebenar akan diumumkan SPAD pada 2024 kelak. Namun yang pastinya, ia 'mampu dibayar' kerana jika dilihat kebanyakan pengangkutan awam di Malaysia, sebahagiannya turut bersubsidi," katanya dalam satu temubual bersama NSTP, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Darwis berkata MRL secara dasarnya memberikan tumpuan kepada perkhidmatan kargo, dengan menyasarkan 30 peratus penumpang dan 70 peratus lagi disumbangkan oleh kargo.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan MRL akan mengkaji kekerapan perjalanan tren dan menilainya bagi tujuan penambahbaikan perkhidmatan.

"Sebagai contoh, jika terdapat banyak permintaan dari Kuantan, kami akan menambah perkhidmatan antara tiga atau empat tren sehari, atau pun lima hingga tujuh tren.

"Dalam perancangan kami sekarang ini ada 28 perkhidmatan, iaitu 14 perkhidmatan pergi dan 14 perkhidmatan balik pada setiap hari," katanya.

Mengenai perkembangan kemajuan projek ECRL, beliau berkata kebanyakan kerja awal sudah banyak disiapkan termasuklah pembinaan tapak kem dan akses jalan ke tapak pembinaan di beberapa lokasi di tiga negeri.

Katanya, kerja dapat dilaksanakan secara serentak memandangkan MRL sudah mendapat kebenaran daripada tanah kerajaan untuk dimasuki lebih awal, sebelum urusan dengan pemilik persendirian dibuat kemudian.

"Bagi proses pengambilan tanah pula, lebih kurang 68 peratus adalah milik persendirian dan selebihnya milik kerajaan. Kami sedang dalam proses mengambil alih tanah persendirian, yang mana buat masa ini, kami sudah melepasi Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960, iaitu koridor yang lebih kecil.

"Begitu juga (pengambilan tanah) Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960, iaitu koridor yang lebih besar. Di bawah Seksyen 4, kami mengambil alih sehingga 15,000 lot, namun di bawah Seksyen 8 jumlahnya dikurangkan menjadi 6,900 lot.

"Seksyen 8 sedang berjalan dan kebanyakan negeri sudah meluluskan pengambilan tanah. Selepas ini, kami akan meneruskan perbincangan bersama pemilik persendirian dan disasarkan akan selesai dalam tempoh 12 bulan," katanya.

Berita Harian X