Rabu, 25 April 2018 | 12:44pm
PENGERUSI MFA, Datuk Radzali Hassan. - Foto Owee Ah Chun
PENGERUSI MFA, Datuk Radzali Hassan. - Foto Owee Ah Chun

FIM 2018 catat potensi urusniaga RM410 juta

KUALA LUMPUR: Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM 2018) yang berakhir baru-baru ini mencatatkan transaksi potensi urus niaga sebanyak RM 410 juta, peningkatan lebih 10 peratus berbanding tahun lalu iaitu RM373 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM90 juta adalah daripada potensi transaksi francais antarabangsa melalui program Franchise In-Buying Mission (FIBM).

Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan, berkata pencapaian itu adalah hasil penawaran pakej pempamer perniagaan francais daripada 88 syarikat francais tempatan dan antarabangsa.

FIM siri kali ini membabitkan penyertaan syarikat francais antarabangsa yang terdiri daripada 11 negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, China, Arab Saudi, Thailand, Singapura, Australia dan Filipina.

Sepanjang program itu berlangsung, FIM 2018 dihadiri seramai 10,511 pengunjung tempatan dan antarabangsa dengan jumlah bakal francaisi sebanyak 940.

FIM 2018 yang berlangsung tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu dirasmikan oleh Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 21 April lalu.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh; Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK, Datuk Basaruddin Sadali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) KPDNKK, Datuk Muez Abd Aziz.

Bersempena majlis perasmian itu turut diadakan majlis penyampaian sijil kepada francaisor baru dan sesi pertukaran perjanjian persefahaman (MoU) antara Marrybrown Sdn Bhd bersama Famcorp Sdn Bhd dan Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Institut Professional Baitulmal (IPB).

Selain aktiviti utama pameran dan persidangan antarabangsa, turut diadakan sesi pemadanan perniagaan antara francaisor dan bakal usahawan francais serta sesi perundingan francais, FIBM dan Celebrity Talks untuk menarik minat para pengujung FIM 2018.

Ini adalah antara aktiviti yang diadakan bagi membantu peserta pameran serta pengunjung untuk mendapatkan lebih banyak pendedahan dan pengetahuan sepanjang program berlangsung.

"FIM pada kali ini juga turut merekodkan sebanyak lebih 100 sesi pemadanan perniagaan antara francaisor dan bakal francaisi. Manakala untuk FIBM yang membabitkan 16 wakil pelabur antarabangsa dari 13 negara seperti Hungary, Poland, Sweden, Belgium, Belanda, Arab Saudi, Sri Lanka, Serbia, Indonesia, Filipina, Russia, Maldives and Vietnam yang turut menyumbang kepada nilai transaksi pelaburan FIM 2018," tambahnya.

Program anjuran bersama MFA dan KPDNKK adalah itu adalah acara tahunan dan tahun ini adalah tahun yang ke-25 penganjurannya.

Berita Harian X