Selasa, 24 April 2018 | 3:45pm
PENINGKATAN penghantaran kereta Peugeot dan Citroen meningkat 44 peratus. - Foto Martin Meissner

Jualan suku pertama PSA Group melonjak 42 peratus

PARIS: Pendapatan suku pertama syarikat automotif Perancis PSA Group mencatat peningkatan 42 peratus disumbang pengambilalihan Opel-Vauxhall.

Pendapatan kumpulan menokok kepada 18.18 bilion euro (AS$22.2 bilion), kata pengeluar kereta Peugeot dan Citroen itu hari ini, berikutan penghantaran kenderaan meningkat 44 peratus.

Susulan bantuan kewangan yang diterima pada 2014, PSA pulih untuk mencatat rekod keuntungan dan mengambilalih syarikat bermasalah Opel daripada General Motors tahun lalu bagi berkongsi pengalaman memulihkannya.

Perniagaan Peugeot, Citroen dan DS (PCD), yang merangkumi Opel-Vauxhall, mencatat peningkatan pendapatan 13.3 peratus kepada 10.21 bilion euro dengan mencatat peningkatan penghantaran 6.6 peratus.

Inventori kumpulan itu menokok 12.3 peratus tahun-ke-tahun kepada 438,000 kenderaan.

Jualan jenama legasi itu diraih di tengah-tengah kesan negatif mata wang, berikutan pengukuhan euro memampatkan pendapatan sebanyak 2.8 peratus.

Pendapatan Opel-Vauxhall berjumlah 4.84 bilion euro, kata PSA tanpa memberikan angka perbandingan.

Bagaimanapun, kumpulan itu meraih kemajuan kecil dalam memulihkan jualannya di China. - Reuters

Berita Harian X