Isnin, 23 April 2018 | 5:58pm

MIDA meterai MoU dengan Cosmetic Valley France

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cosmetic Valley France (CVF) dalam misi ke Paris.

Dalam kenyataan, MIDA berkata MoU itu mencerminkan hasrat kedua-dua pihak untuk membangunkan kluster industri kosmetik dan penjagaan diri yang mampan di Malaysia melalui perkongsian maklumat, inisiatif promosi bersama serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) terutamanya dalam segmen halal.

Langkah ini akan menyumbang kepada penghasilan produk baharu dan inovatif dalam pasaran dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan Perancis.

Ditubuhkan pada 1994, Cosmetic Valley menjadi "kluster daya saing" pada 2005.

Kini, sebagai pusat sumber utama dunia dalam kosmetik dan minyak wangi, ia menetapkan standard dalam dunia kosmetik.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Azman Mahmud, yang menandatangani perjanjian itu berkata: "Kami gembira dapat bekerjasama dengan CVF, penanda aras utama bagi kosmetik global, untuk memajukan pembangunan industri ini di Malaysia melalui pelbagai inisiatif.

"Ini termasuk memanfaatkan platform promosi seperti Cosmetic 360, acara antarabangsa yang mempamerkan kreativiti dan inovasi dalam rantaian bekalan industri kosmetik, memudahkan sesi padanan perniagaan yang membolehkan peserta tempatan memanfaatkan pengetahuan mengenai teknikal dan kawal selia syarikat Perancis.

"Ini selain menyokong penyelidikan dan inovasi serta latihan dalam kalangan semua pihak berkepentingan melalui projek seperti Cosmetopeia.

"Dengan menjadikan Malaysia sebagai kluster mereka, syarikat kosmetik global dapat meraih manfaat daripada ketersediaan bahan-bahan yang diperlukan dan meningkatkan kecekapan kos disebabkan jarak yang dekat," katanya.

Sementara itu, peserta industri tempatan akan mendapat manfaat daripada pertukaran kepakaran dan akses kepada platform dan inisiatif antarabangsa dengan memanfaatkan kedudukan Perancis sebagai peneraju dunia dalam industri kosmetik dengan 14.8 peratus bahagian pasaran dan pusat kepada jenama terkemuka.

"Terdapat banyak yang boleh dipelajari oleh peserta tempatan kita, berikutan banyak kejayaan mereka disebabkan oleh pelaburan yang besar dibuat dalam R&D.

"Malah, kebanyakan syarikat kosmetik global memperuntukkan antara 1.5 peratus dan 4.5 peratus daripada perolehan (jualan) tahunan mereka untuk R&D dan terdapat kira-kira 6,000 paten telah difailkan oleh industri kosmetik dan penjagaan diri di Eropah. Kami berharap untuk menyaksikan kejayaan ini di Malaysia," kata Azman.

Syarikat asing telah memanfaatkan ekosistem halal Malaysia yang komprehensif.

Merangkumi pelbagai aktiviti selain pengeluaran makanan, produk halal Malaysia yang termasuk kosmetik dan kelengkapan dandanan diri, telah menempa nama di peringkat global bagi kualitinya.

Ini diperkukuhkan lagi dengan kerjasama hari ini antara MIDA dan CVF. - BERNAMA

Berita Harian X