Selasa, 10 April 2018 | 11:29am

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.5 peratus: SERC

KUALA LUMPUR: Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.5 peratus daripada 5.1 peratus sebelumnya.

"Kami menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.5 peratus pada 2018, lebih tinggi daripada 5.1 peratus yang dianggarkan sebelumnya, terutama berikutan permintaan domestik lebih kukuh.

"Namun demikian, kesan asas tinggi teknikal pada 2017 sedikit mengimbangi perbandingan pertumbuhan tahun ke tahun," kata SERC dalam satu kenyataan.

Ia berkata, pertumbuhan KDNK sebenar pada separuh pertama tahun ini dianggarkan pada purata 5.6 peratus sebelum berkurangan kepada 5.4 peratus pada separuh kedua, apabila kesan asas tinggi mula berlaku.

Ringgit juga dijangka mendapat manfaat daripada prospek ekonomi lebih baik, kestabilan kewangan, lebihan akaun semasa yang dianggarkan 2.7 peratus KDNK pada 2018, pengumpulan rizab asing pada tahap kukuh dan aliran masuk modal jangka panjang.

"Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan mungkin mempengaruhi sentimen pelabur terhadap ringgit kerana pelabur dijangka menunggu di luar pasaran menunggu hasil pilihan raya.

"Risiko utama yang mengimbangi pengukuhan ringgit adalah perang perdagangan antara negara perdagangan besar memberi kesan kepada ekonomi berorientasikan eksport seperti Malaysia melalui rantaian bekalan global dan langkah lebih agresif Rizab Persekutuan (Fed) untuk menaikkan kadar faedah AS, sebagai tindak balas kepada peningkatan inflasi yang lebih pantas berbanding jangkaan," katanya.

SERC berkata, pengukuhan sedia ada ekonomi domestik adalah bertahan di tengah-tengah ketidaktentuan luaran.

"Ekonomi melonjak kukuh pada 2017. Ekonomi Malaysia mengekalkan momentum teguhnya pada suku keempat 2017, dengan KDNK berkembang sebanyak 5.9 peratus (6.2 peratus pada suku ketiga), menjadikan pertumbuhan seluruh tahun lalu kepada 5.9 peratus.

"Ia pertumbuhan terbaik dalam tempoh tiga tahun sejak 2014 (6.0 peratus) dan selepas berkembang perlahan dua tahun berturut-turut pada 2014 (5.0 peratus) dan 2015 (4.2 peratus). Momentum permintaan domestik dan sumbangan daripada sektor luaran kekal teguh.

"Dengan pertumbuhan global bertambah baik dianggarkan 3.9 peratus pada 2018 berbanding 3.7 peratus pada 2017, langkah sokongan fiskal dan limpahan positif permintaan global terhadap eksport negara (dianggarkan 7.5 peratus pada 2018 berbanding 18.9 peratus pada 2017) selain angka semasa dan akan datang yang masih positif (pengeluaran perindsutrian, eksport, jualan dan pinjaman bank), kami kekal positif terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya.

Berita Harian X