Selasa, 3 April 2018 | 3:55pm

FIM 2018 diunjur raih pelaburan RM370 juta

KUALA LUMPUR: Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM 2018) dijangka menjana potensi pelaburan bernilai RM370 juta bagi sektor francais dalam tempoh tiga hari penganjurannya pada 20 hingga 22 April ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh, berkata FIM 2018 adalah pameran francais terbesar Asia Tenggara dan bertindak sebagai pusat sehenti bagi usahawan dan francais antarabangsa di rantau ini.

Beliau berkata, kerajaan juga berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab francais serantau Asean menjelang 2020 yang mana ketika ini negara merekodkan pertumbuhan positif dalam sektor francais.

"Setakat ini, sejumlah 850 syarikat francais daripada pelbagai sektor didaftarkan di negara ini dan ia terus berkembang pesat selari pembangunan yang dicapai.

"Malah, bagi penganjuran FIM kali ini kita juga menyaksikan penyertaan 12 negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia, United Kingdom, Jepun, Korea, China, Taiwan, Arab Saudi, Thailand, Singapura dan Filipina.

"Penganjuran kali ini disokong oleh Majlis Francais Sedunia (WFC), Persekutuan Francais Asia Pasifik (APFC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membuktikan ia adalah platform tepat bagi perkembangan segmen ini," katanya pada sidang media FIM 2018 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Radzali Hassan dan Setiausaha Agung MFA, Mohamad Shukri Salleh.

FIM 2018 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung termasuk pengunjung antarabangsa.

Jamil berkata, penganjuran kali ke-25 itu juga akan menampilkan pelabur dari beberapa negara seperti Kazasthan, Jepun, Mesir, China, Taiwan, Indonesia, Uzbekistan, Thailand dan Vietnam melalui aktiviti Misi Belian Masuk.

"Aktiviti ini adalah usaha sama dengan MATRADE, iaitu elemen baharu dalam FIM tahun ini. Tujuan aktiviti ini adalah untuk membantu jenama francais tempatan untuk mengembangkan jenama masing-masing ke peringkat global dan berhubung terus dengan pelabur asing berpotensi," katanya.

Setakat ini, sebanyak 65 jenama francais tempatan berjaya mengembangkan perniagaan mereka ke 66 negara.

Berita Harian X