Selasa, 27 March 2018 | 5:01pm

Program Blee cungkil peluang ekonomi digital

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melantik MyBazar Malaysia bagi meneruskan komitmen agensi itu untuk memperkasa usahawan tempatan melalui program Blee.

Program Blee dibangunkan dengan tumpuan mencungkil peluang pertumbuhan ekonomi digital dalam kalangan perniagaan mikro tempatan yang mewakili 76.5 peratus perniagaan di Malaysia.

Pengurus eUsahawan Global Track MDEC, Premla Balakrishnan, berkata setakat ini terdapat lebih kurang 500 peniaga tempatan terpilih dalam program Blee.

Katanya, peniaga yang terpilih telah menjual lebih 2,000 jenis produk termasuk makanan, fesyen, hiasan rumah dan hasil kraftangan.

"Bagi tahun ini, kami menjangkakan kira-kira 1,500 lagi peniaga di bawah eUsahawan akan terbabit dengan program Blee yang akan memasarkan produk mereka melalui MyBazar.

"Selain MyBazar, kami akan terus menjalin kerjasama dengan penyedia platform e-dagang yang lain bagi membantu lebih ramai usahawan memasarkan produk mereka secara online," katanya pada taklimat media MyBazar dan MDEC di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyBazar, Fazil Irwan Som dan Pengarah Pemasaran MyBazar, Aaliyah Soraya Darus.

Blee yang juga singkatan daripada 'Barangan Luar Biasa Eksklusif eUsahawan' mempunyai sasaran untuk meluaskan jangkauan dan merangsang pengambilan e-dagang seluruh negara dalam kalangan peniagan mikro tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sementara itu, Fazil berkata, usahawan yang berminat untuk menyertai program Blee boleh mendaftarkan perniagaan mereka di laman www.mybazar.com/blee.

"Penjual Blee yang berdaftar akan memperoleh khidmat penghantaran percuma, pengecualian penuh yuran pengendalian dan kutipan komisen sehingga perniagaan mereka mencapai tahap keuntungan tertentu.

"Buat masa ini, kami tidak menyasarkan transaksi urus niaga yang dijalankan usahawan Blee menerusi MyBazar, namun kami melihat mereka berjaya mendapat jualan selepas memasarkan produk," katanya.

Usahawan yang ingin menyertai program Blee perlu berdaftar di bawah program eUsahawan MDEC.

Berita Harian X