Selasa, 27 March 2018 | 1:57pm
Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Menteri Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pelancong ke Malaysia diunjur jana hasil RM168 bilion

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyasarkan 36 juta kedatangan pelancong dan RM168 bilion dalam bentuk pendapatan asing menjelang 2020.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata bagi mencapai sasaran itu, pihak industri dan kerajaan perlu terus mengukuhkan kerjasama dalam membangunkan produk baharu dan pengalaman pengunjung yang unik dan mempunyai kelainan.

Katanya, industri juga perlu kekal berdaya saing dengan meningkatkan produktiviti dan melabur dalam pembangunan sumber manusia melalui inovasi.

"Industri pelancongan akan terus kekal sebagai komponen penting untuk ekonomi yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan yang baik serta berdaya saing.

"Penghasilan produk pelancongan dan pengalaman pengunjung yang berkualiti, di samping mengukuhkan produktiviti dan daya saing sektor pelancongan akan memastikan pertumbuhan industri ini terus rancak dan mampan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, Laporan Travel and Tourism Competitiveness edisi 2017 yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) meletakkan Malaysia antara destinasi menarik berdasarkan daya saing harga dan keindahan sumber alam.

"Laporan ini juga melihat Malaysia menawarkan persekitaran menarik dan kondusif untuk perniagaan yang disokong oleh sumber manusia dan pasaran buruh yang kukuh.

"Malaysia juga sudah memperbaiki kesediaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), infrastruktur perkhidmatan pelancongan dan keterbukaan antarabangsa.

Sementara itu, beliau turut merasmikan Hari Produktiviti Pelancongan anjuran Toursim Productivity Nexus dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Selari dengan inisiatif Pelan Induk Produktiviti Malaysia (MPB), program membabitkan 150 wakil daripada industri pelancongan itu diadakan bagi mewujudkan kesedaran dan budaya produktiviti dalam kalangan sektor pelancongan.

Berita Harian X