Selasa, 6 March 2018 | 3:32pm
KETUA Pegawai Eksekutif MARC, Mohd Razlan Mohamed (kiri), Ketua Ekonom, Tinjauan Ekonomi Malaysia, Nor Zahidi Alias ​​dan Ketua Pegawai Penarafan, Rajan Paramesran pada taklimat media Malaysia Rating Corporation Berhad pada 2018 Outlook Ekonomi & Sektoral Malaysia Hilton KL. - Foto Rohanis Shukri.
KETUA Pegawai Eksekutif MARC, Mohd Razlan Mohamed (kiri), Ketua Ekonom, Tinjauan Ekonomi Malaysia, Nor Zahidi Alias ​​dan Ketua Pegawai Penarafan, Rajan Paramesran pada taklimat media Malaysia Rating Corporation Berhad pada 2018 Outlook Ekonomi & Sektoral Malaysia Hilton KL. - Foto Rohanis Shukri.

MARC unjur ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus

KUALA LUMPUR: Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun ini berkembang pada 5.3 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi MARC, Nor Zahidi Alias, berkata perbelanjaan penggunaan swasta berdaya tahan, yang menjadi kunci mengekalkan pertumbuhan ekonomi melebihi paras jangka panjang lima peratus, dijangka berkembang secara purata 7.2 peratus.

"Pertumbuhan sokongan juga dijangka daripada pelaksanaan beberapa projek infrastruktur besar seperti Transit Aliran Massa 2 (MRT 2), Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3), Lebuh Raya Pan Borneo dan Menara Warisan.

"Bagi sektor luaran, prospek dijangka bagus. Ia sejajar dengan unjuran pertumbuhan jumlah output dan perdagangan global Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masing-masing pada 3.9 peratus dan 4.6 peratus pada 2016," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Selain itu, Nor Zahidi berkata, situasi pasaran minyak global yang bertambah baik dan kenaikan harga minyak mentah juga adalah positif bagi ekonomi Malaysia tahun ini.

Setakat akhir Februari lalu, harga minyak mentah mencecah di atas AS$60 satu tong.

"Jika harga minyak kekal pada paras semasa atau terus meningkat, pertumbuhan pendapatan kerajaan selain sentimen perniagaan keseluruhan akan bertambah baik.

"Ini akan memberi rangsangan kepada iklim pelaburan, yang akan menjadi positif buat pasaran terbitan bon korporat," katanya.

Tahun lalu, jumlah terbitan kasar bon korporat melonjak 45 peratus kepada RM122.9 bilion, tertinggi dalam tempoh lima tahun.

Daripada perspektif penarafan kerajaan, Nor Zahidi berkata kebanyakan parameter makroekonomi penengah Malaysia kekal sejajar dengan negara penarafan A tunggal yang lain.

Tambahan pula, Malaysia memiliki institusi yang kukuh dan ranking di dalam laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia serta Daya Saing Global Forum Ekonomi Dunia, kekal terpuji.

"Menuju ke hadapan, kebimbangan terhadap metrik hutang dan fiskal Malaysia akan diimbangi oleh prospek ekonomi global yang bertambah baik serta kestabilan harga minyak," katanya.

Sementara itu, MARC menjangkakan tinjauan kredit korporat bagi tahun ini dijangka stabil dengan risiko penurunan yang sederhana.

Nor Zahidi berkata, tinjauan yang memberangsangkan itu disokong oleh pertumbuhan ekonomi stabil, yang akan menyokong sentimen perniagaan dan pengguna, manakala pemulihan harga komoditi utama adalah dalam lingkungan lebih tinggi berbanding paras rendah sebelum ini.

Katanya, tinjauan sedemikian juga mengambil kira limpahan manfaat daripada pelbagai projek infrastruktur kepada syarikat pembinaan dan berkaitan pembinaan.

"MARC menjangkakan korporat secara umumnya merekodkan pertumbuhan pendapatan positif pada 2018, manakala leveraj korporat dijangka kekal pada paras sederhana," katanya.

Berita Harian X