Isnin, 26 Februari 2018 | 6:14pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Naza Corporation Holding Sdn Bhd (Kumpulan NAZA) yang diwakili oleh Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, SM Nasarudin SM Nasimuddin dengan PSA Group yang diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif (China dan Asia Tenggara), Carlos Gomes. Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Muhamed (kanan) di Bangunan Putra Perdana. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Dasar mesra pelabur Malaysia pikat Groupe PSA

PUTRAJAYA: Dasar ekonomi mesra pelabur yang diamalkan Malaysia dan keupayaan Naza Corporation Holdings (Naza Group) mendorong pengeluar automotif terkemuka Perancis, Groupe PSA memilih Malaysia sebagai hab pengeluaran ASEAN.

Naib Presiden Eksekutif China dan Asia Tenggara Groupe PSA, Carlos Gomes, berkata dua elemen itu mendorong syarikat itu mengambil langkah penting dalam mengembangkan perniagaan di Malaysia dan negara ASEAN selaras dengan pelan strategik Push to Pass Groupe PSA.

Katanya, Malaysia kini menjadi destinasi penting kepada Groupe PSA kerana negara ini menjadi pusat pengeluaran pertama syarikat berkenaan di ASEAN.

"Ia menjadi fasa penting kepada kami untuk berkembang. Kemudahan yang dimiliki di kilang Pembuatan Automotif Naza (NAM) di Gurun, Kedah bakal menjadi platform terbaik untuk pembangunan perniagaan masa depan.

"Groupe PSA akan mengetuai pembangunan perniagaan di NAM yang mana akan menjana keuntungan kepada kami dan Naza Group di rantau ini.

"Kami yakin dengan keupayaan Naza Group untuk membantu berkembang dengan pesat di ASEAN, di mana hubungan kita sebenarnya sudah pun terjalin sejak 2008," katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli kepentingan NAM dan usahasama antara Naza Group dan Groupe PSA di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Naza Group diwakili Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, SM Nasarudin SM Nasimuddin, manakala Groupe PSA pula diwakili Gomes.

Majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua konglomerat itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada satu program ringkas berlangsung di Pejabat Perdana Menteri.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche.

Gomes berkata, menerusi NAM, Groupe PSA akan menghasilkan model pemasangan tempatan (CKD) pertama menjelang akhir tahun ini sebelum ia dieksport ke negara ASEAN.

"Kita merencana pembangunan masa depan di Gurun di mana Groupe PSA sedang merancang pelaburan tambahan di NAM untuk pelbagai tujuan termasuk tenaga kerja, kepakaran, jentera untuk menghasilkan model terbaik pada harga kompetitif dan berkualiti tinggi untuk pasaran Malaysia dan ASEAN," katanya tanpa mendedahkan jumlah pelaburan berkenaan.

Groupe PSA dan Naza Group dijangka menghasilkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Peugeot 3008 akhir tahun ini, manakala di bawah jenama Citroen, model ikonik C5 Aircross pula akan dihasilkan pada 2019.

Berita Harian X