Isnin, 26 Februari 2018 | 1:10pm

Ekonomi M'sia dijangka kukuh 2018: AmBank Research

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang kukuh pada 2018 dengan pertumbuhan terus disokong oleh aktiviti domestik berikutan pemulihan sentimen perniagaan dan pengguna.

Pemulihan eksport terutama daripada aktiviti semikonduktor dan berasaskan sumber juga menyokong pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini, kata AmBank Research.

Firma penyelidik itu berkata, Indeks Pelopor (IP) yang memantau prestasi ekonomi ke hadapan meningkat kepada 1.6 peratus pada Disember 2017, sementara Indeks Serentak (IS) yang mengukur aktiviti ekonomi semasa berkembang 3.2 peratus.

"Kami jangka ekonomi domestik kekal kukuh pada 2018. Pertumbuhan akan terus disokong oleh aktiviti domestik. Justeru, kami mengulangi tinjauan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2018 adalah 5.5 peratus," katanya dalam nota penyelidikannya, hari ini.

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan luar jangkaan pada kadar 5.9 peratus dalam suku keempat 2017, didorong permintaan sektor swasta yang kukuh serta peningkatan eksport.

Bagi keseluruhan 2017, ekonomi negara meningkat 5.9 peratus berbanding 4.2 peratus pada 2016, tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Bagi tahun ini, ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar antara antara 5 hingga 5.5 peratus.

Mengenai ringgit, AmBank Research mengunjurkan, mata wang tempatan itu akan bergerak dalam julat turun naik antara RM3.9068 dan RM3.9219 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS).

Ia berkata, dolar AS mengukuh berikutan pengumuman Rizab Persekutuan AS (Fed AS) mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah AS sebanyak tiga hingga empat kali tahun ini.

Ringgit mencecah paras tertinggi sejak April 2016 pada hujung bulan lalu pada paras RM3.8710 sedolar berikutan pengumuman kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 0.25 peratus kepada 3.25 peratus oleh Bank Negara Malaysia.

Berita Harian X