Khamis, 22 Februari 2018 | 5:55pm

Axa Affin gondol lima anugerah Kongres HRD

KUALA LUMPUR: Axa Affin General Insurance Bhd (AAGI) merangkul lima anugerah daripada Anugerah Kecemerlangan Sumber Manusia Global dan Anugerah Penjenamaan Majikan ke-12 pada Kongres Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Dunia 2018, yang berlangsung di Mumbai, India, baru-baru ini.

Lima anugerah itu ialah Jenama Majikan Terbaik Global, Ketua Pegawai Eksekutif dengan Orientasi Sumber Manusia (HR), Inovasi dalam Pengambilan Pekerja, Inovasi dalam Strategi Pengekalan dan Pengurusan Bakat.

Ketua Pegawai Sumber Manusia AAGI, Mohd Syukri Ahmad Sudari berkata anugerah itu bagi mengiktiraf peneraju sumber manusia yang membangunkan amalan sumber manusia yang inovatif dan mendorong syarikat dan transformasi tenaga kerjanya.

"Segala yang kami lakukan di sini bertujuan untuk mencapai matlamat bagi memperkasakan orang ramai untuk menjalani kehidupan yang lebih baik. Kami memberi penekanan kepada pengalaman pekerja kami dan meletakkan keutamaan pembangunan mereka, membuktikan komitmen kami untuk mencapai matlamat kami.

"Bersama-sama dengan sokongan CEO kami, melakukan yang terbaik untuk menyebarkan budaya inklusi, inovasi, dan kepercayaan yang dapat dilihat dalam semua inisiatif kami, sehingga memimpin kami untuk memenangi anugerah ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini , hari ini.

AAGI diiktiraf di atas kecemerlangannya dalam membangunkan kaedah inovatif dalam mengambil pekerja, mengekalkan dan membangunkan bakat terbaik dalam industri. Organisasi percaya persekitaran kerja yang dinamik dan memenuhi perkembangan kerjaya adalah kunci untuk memperkasakan pekerjanya untuk berkembang bersama dengan syarikat.

Organisasi mengambil lebih 900 pekerja di 24 pejabat di seluruh negara dan memanfaatkan rangkaian dan platform global Kumpulan AXA untuk menawarkan peluang latihan dan pembangunan yang lebih maju kepada pekerja.

-BERNAMA

Berita Harian X